"Demikianlah kondisi jiwa bila telah sampai kepada Tuhan berkat sampainya kalbu.
Seperti telah kami katakan, hati tidak membiarkan nafsu untuk ikut ambil bahagian
dalam amal kebaikan yang dilakukan. Setiap kali nafsu bergembira dengan sesuatu
yang bersifat duniawi atau sebuah amal kebaikan, kalbu segera memutuskan
kegembiraan itu dari nafsu, sehingga ia bersih dari segala suka cita nafsu.
Di sinilah ia mendapatkan rahmat, kerana ketika telah sampai kepada tahapan tersebut,
ia tidak lagi memiliki kesenangan dan kegembiraan. Ia telah memutuskan jiwanya dari
kegembiraan dunia, bahkan kegembiraan agama. Ia menjaga seluruh anggota badannya
dari segala larangan Allah dan segala sesuatu yang tidak berguna kerana Allah s.w.t. semata.
Ia melaksanakan kewajipan dan amalan sunnah, tidak yang lain.
Cukuplah itu sebagai kesibukannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Tunaikanlah kewajipan dari Allah atasmu,
nescaya kamu menjadi manusia paling mengabdi!
Jauhilah segala larangan Allah,
nescaya kamu menjadi manusia paling warak!
Senangilah untuk orang lain apa yang kamu senangi
untuk dirimu, nescaya kamu menjadi mukmin.'
Itulah gambaran mukmin sempurna yang benar-benar
layak disebut beriman kerana telah mengamalkan
ketiga-tiga perbuatan di atas. Sungguh, cukuplah
itu semua sebagai kesibukan.
Itulah sosok hamba yang tulus kepada Allah s.w.t. dalam beribadah,
sementara orang-orang lain yang tidak memiliki sifat di atas beramal
secara serampangan dan rosak. Mereka beribadah kepada Allah s.w.t.
secara tidak benar. Jiwa mereka telah merasa nyaman dengan kelazatan
nafsu (semata-mata, wal 'iyazubiLlah)."
[Imam Al-Hakim Al-Tirmidzi r.a.]