Mac 09, 2009

Kisah Mentari, Rahsia Langit





...

Nabi sedar gerak sekeliling, dibaca lebih dalam, dimengerti lebih akar.

Dan kepada Usamah yang amat menunggu, diteliti wajah pahlawannya;

Di tengah khalayak yang menanti, suara Baginda tenang dan mesra, 

suara itu lebih ke arah Usamah.

Diulangi waras pilihannya, pahlawan pengganti perkasa ayahnya,

Usamah memang tepat, dan Baginda mengarah pasukannya bermula.

Khalayak terdiam beberapa ketika, angin yang bersuara,

Unggas sesekali melintas di kepala, dan khalayak masik khusyuk menanti,

Berkatalah Baginda tidak dipilih jika tidak ke pihak Allah.

Segelintir sahabat cepat mengerti, tangis dan pilu disembunyikan,

Dan Abu Bakar al-Siddiq, dalam gelora rasa yang dikawal,

Amat memahami mengapa begitu kata Baginda,

Mengapa antara dunia dan akhirat, Nabi hanya memilih hanya Allah.

Dan seperti dirasakan lebih awal, dipandangnya Abu Bakar yang keruh wajah,

Disimbahkan cahaya yakin, dipinta agar sahabat yang diambilnya sebagai khalil

sentiasa tabah dan cekal dirinya.

Dirinya lemah dan uzur, dirinya saja dipinta menanggung,

Dan khalayak diberikan nasihat dan semangat,

Madinah masih diancam, wajar dijaga.

Wajah Baginda sentiasa mengerti, tenang dan sabar pancaran utama,

Sebelum meninggalkan masjid, pesannya masih ada,

Khalayaknya tetap menunggu, kepada mereka, ke arah setiapnya,

Nabi berpesan, Muhajirin paling diingatkan.

Seperti berwasiat Baginda kepada mereka, seperti dipinta telinga yang jelas,

Dan kaum Muhajirin seperti diketahui hasrat Baginda, seperti ditunggu amanatnya.

Dan dalam bahasa yang amat jelas, tulus dan rindu di dalamnya, 

diulangi pesannya agar bersaudara mereka,

Muhajirin dan Ansar, kerana Ansar terlalu besar jasanya kepada Nabi.

Hari yang berlalu begitu pilu, malam yang berganti seperti sepi.

Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya,

Terkhabar cepat ke tengah khalayak, ditimbang dan 

difikir dalam resah, ditafsir dan ditamsil pelbagai warna.

Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya,

Masih tetap berulang-alik ke masjid mengimami solat berjemaah,

Dan hinggalah pada suatu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya, lalu,

Kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat,

Dalam khusyuk yang sama, Aisyah,

Entah mengapa, kurang selesa menerimanya.

Seperti terkejut Umar bin al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah,

Pemimpin yang sakit cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya.

Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda,

Dan dengan yakin dan ketar, Umar cuba mengingatkan:

Benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau,

Tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan Al-Quran,

Tidakkah kitab yang sedemikian sempurna, 

tidakkah segala ayat di dalamnya jawapan setiap masalah, pimpinan setiap tindak.

Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.

Berkisah dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah.

Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara,

Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, dengan mata tetap bercahaya,

Rambutnya putih sekelompok dua, mula mengulangi keyakinan dan mimpinya.

Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur.

Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian,

Faham dalam sedihnya, kerana amat tahu,

Baginda lebih dan ghairah berkata tidak lagi tentang dunia,

Segala-gala mula di akhirat impinya.

Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil,

Dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya,

Dan dengan tegas, dipinta, supaya disedekah.

Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada,

Langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakini wujud.

Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring,

Dan khalayak ketar dan pilu, bauan yang ganjil dalam syahdu.

Dan seperti tenang nampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang,

Berkat ubat dari Asma’, dan Nabi, seperti biasa ke masjid dirinya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, 

dan langit masih penuh rahsia.

Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, 

dan gurun masih penuh rahsia.

Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, 

berkata tenang datangnya ajal dan rela.

Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diterka,

Dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah 

Nabi yang mula menghembus nafas akhirnya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, 

dan langit masih penuh rahsia. 

Hari panas ketika itu, 

aduh Nabi sudah tiada.


SN A. Samad Said
Buku Puisi Al-Amin

Tiada ulasan: