Ya Rabb,
izinkan daku
menghambur sejuta rasa, duka
tak berdaya, kelu lidahku dari bicara
kala berdepan mereka
daku tahu
Kau Mendengar segala,
sedang mereka tak sepenuhnya, tak setulusnya;
bukan benar pengasih tuk mendengar rintih suara,
takkan memilih tuk menawar calar luka.
justeru izinkanlah, Ya Rabbul 'Izzaty
tuk ku alirkan rasa sayu ini
dalam titis-titis air mata
yang mengalir perlahan,
kususun kata-kata menggambari kesedihan
yang menancap dedaun kalbu, tersayat dalam.
daku kesunyian, Ya Rabb
dari cinta manusia di sekelilingku..
tiada siapa yang sebenar mengerti.
malah daku jua mungkin tersalah erti.
tentang lubuk jiwaku yang bergelora ini.
apa yang ada pada pengetahuanku,
hanya secebis cuma, namun sebenar-benarnya
nuraniku jualah yang bicara
lembut katanya, seakan mengubati sendiri:
"Wahai diri, engkau
manusia yang dicipta
dengan penuh rasa kasihan,
ingin mengasihani
tinggi harapan jua pendamba ketulusan
duhai jiwa,
sudahkah kau kembali
pada fitrah, yang harus tak jemu memberi,
tanpa mengharap dibalasi secara zahiri
kerana kasih~Nya sentiasa kaudambai.
hakikinya, engkau
tak ingin sekali-kali
ditinggali, diketepi
diasing. dikecuali,
dipencil
tak dipandangi, lagi
tak dipeduli
apatah lagi jika mereka
yang memperlakukan begitu
adalah insan yang
sejujurnya kauanggap
sebagai sahabatmu
kutahu, wahai diri
fitrahmu adalah
ingin berkongsi segudang kebaikan,
walau mengorban seluruh kepunyaan
kenali dirimu, berikan ia peluang
mencicip sedikit ni'mat pemilikan yang fana'.
tetaplah melindung di bawah
naungan pohon Cinta-Nya,
jadikannya sebaik teduhan
jangan sengaja memendam,
menyembunyi sendiri-sendiri,
karunia yang telah Dia beri
apalah nikmatnya Cinta jika
tidak sama-sama dicambahi,
dibajai dan disuburi
Cinta, bukan
untuk dikecapi seorang diri.
kau, tercari-cari sesiapa
yang memahami,
sedia sama merasai.
telah engkau lama sedari
sekian usia engkau menanti
sabar engkau dalam pencarian,
jua penantian
akan sahabat, moga bila ketemu,
dia kan
berkongsi setia."
Siapa...
siapa yang mengingini kebaikan diri
kerana semata redha~Mu?
siapa yang mahu bersahabatkan diri ini,
siapa yang ingin memandang wajahku ini
kerana~Mu, dengan penuh kasih?
siapa,
siapa yang mengharap
kasihnya daku padanya
agar sama-sama
dapat kami berkongsi kasih~Mu?
siapa,
yang mana dengannya saat kami bertemu
dan berpisah,
beratnya hati
hanya kerana kami
menagih kecintaan~Mu?
siapa.. ?
daku yang jahil ini,
melutut di pinggiran
melontar persoalan ke tengah lautan,
menanti sabar, akan jawapan
yang belum kunjung tiba, menanti penuh harapan.
Ampunkan daku, ya Ilahi..
mungkin soal hati ini,
melampaui batas diri.
akan Kau tinggal ia sebagai
soalan yang tak terfahami
pasti Kau Yang Maha Segalanya,
tak mahu memberi jawapannya, lagi
buat masa ini.
Hikmahnya ada pada~Mu,
maka daku berhenti di sini.
Pertanyaanku, harapnya terjawab
oleh Belas Kasih~Mu,
dan difahamkan diri oleh~Mu akannya
baik saat nafasku masih terhela,
maupun tika kembalinya daku,
menanti~Mu di sana.
Ilahi,
rayu fakir ini,
temukan daku kepadanya, teman sejati
sama-sama mencari redha~Mu, hakiki!
Bantulah daku bersabar dalam
pencarian, dan penantian
akan seorang sahabat
yang tampaknya tak punya penghujung,
tak kenal erti rehat,
sendiri mendaki laluan bergunung,
meniti jambatan hayat..
Amiin.
______
luahan rasa seorang pencari,
pejalan di jalan Cinta~Nya..
Ibnu Abas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan