Julai 20, 2008

Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan





"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuan-Mu kepadaku dalam setiap ketentuan-Mu ke atasku.."
Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli


Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.


Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuan-Nya", lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.


Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hamba-Nya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia.


Hidup ini ialah tempat bermualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepada-Nya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepada-Nya, dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?



Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


***


Tiada ulasan: