Alangkah keji dan hinanya seseorang hamba Allah Ta'ala, yang mengetahui betapa baik Tuhannya yang telah melakukan ehsan terhadap dirinya, tetapi ia masih mahu melakukan maksiat kepada-Nya. Tetapi kebanyakan orang yang melakukan maksiat kepada Tuhannya, tidak tahu langsung akan kebaikan Tuhannya kepada dirinya. Ini kerana mereka tidak pernah mahu merenung dan muraqabah (mengakrabkan diri) akan Tuhannya, lantaran kejahilan dan kebodohan mereka sendiri terhadap Tuhannya, apalagi mahu mengenali-Nya.
Tidak ada untungnya orang yang berasa bimbang dan gusar terhadap sesuatu yang lain selain Tuhannya, lantaran kejahilannya terhadap kebaikan Tuhannya ke atas dirinya. Walaupun ia sudah tahu bahawa nafsu itu boleh membawa dan menjurusnya ke arah kebinasaan, tetapi ia masih mahu meneruskan kerenah dan menurut hawa nafsunya itu. Padahal ia menyedari dan memahami bahawa hati itu sahaja yang dapat membimbing dan membawanya ke arah yang lebih selamat.
Oleh sebab itulah, anda harus menyalahkan nafsu biadap itu dengan sekeras-kerasnya tanpa bertolak ansur. Malahan, anda harus bertindak tegas untuk untuk menghapuskannya dengan mengingatkan diri anda betapa dahsyatnya azab dan siksaan Allah yang dikenakan terhadap orang yang melakukan maksiat dan dosa. Tetapi malangnya, anda masih lagi melakukan maksiat dan dosa di hadapan Tuhanmu tanpa segan silu.
Jika anda mengetahui dan menyedari bahawa Tuhanmu mempunyai sifat kebesaran dan kemuliaan, tentu sekali anda tidak berani menghadap dan mendedahkan pelbagai maksiat kepada-Nya. Jika anda tahu dan sedar bahawa ilmu-Nya begitu hampir dengan anda dan Dia sentiasa memerhati dan melihat anda, sudah tentu anda meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Demikian juga, kalau anda mengetahui bahawa kebimbangan terhadap keduniaan akan membawa kerugian bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat, sama ada yang ghaib mahupun yang nyata.
Tidakkah anda berasa malu kepada Tuhan anda, sedangkan anda tahu bahawa anda berada dalam hukuman-Nya? Mengapakah anda tidak begitu prihatin dan masih leka dengan suruhan-Nya? Sebenarnya, anda adalah orang yang jahil dan tidak tahu betapa baiknya Tuhan terhadap diri anda, menyebabkan begitu mudah anda melakukan sesuatu yang membinasakan diri anda sendiri. []
Kitab Tajul Arus
Ibnu 'Athaillah as-Sakandari,
diterjemah Syeikh Othman al-Fantayaani