Sesuatu yang terkemudian tidak akan diterima kecuali bertaubat, yang membawa maksud amal dan semua kebaikan tidak akan diterima melainkan jika taubatnya diterima.
Seorang hamba Allah yang melakukan perbuatan dosa dan maksiat, umpama periuk yang baru dinyalakan dengan api di bawahnya selama sesaat, tiba-tiba berubah menjadi hitam akibat asap api tersebut. Sekiranya anda segera mencuci dan menggosoknya hingga bersih, sudah pasti bekas hitam akibat asap api yang ada pada periuk itu akan hilang serta merta.
Sebaliknya, jika anda leka dan tidak mencucinya dengan serta merta dan masih lagi menyalakan apinya untuk tujuan bertanak dengan berulang kali, tentu sekali banyak bekas hitam yang terdapat di periuk itu. Oleh sebab periuk itu terlalu panas, mengakibatkan periuk itu pecah dan sudah tentu periuk itu tidak berguna lagi kerana tidak boleh mencucinya lagi; bahkan tidak ada faedahnya.
Seorang hamba Allah yang bertaubat, dapat menghilangkan dan melenyapkan hitam yang terdapat pada hatinya. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan perbuatan maksiat, hatinya menjadi hitam akibat perbuatan dosa yang dilakukannya. Jika dia tidak bertaubat dan masih lagi melakukan pelbagai maksiat, bertambah-tambahlah hitam hati itu sehingga tidak boleh mencucinya serta merta lagi. Umpama emas apabila bercampur dengan tembaga, tidak boleh dipisahkan lagi kecuali dibakar dengan api.
Oleh itu, bersungguh-sungguhlah anda melakukan amal yang soleh dan apa yang diharapkan semoga amalan anda itu diterima oleh Allah s.w.t. Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh kepada-Nya dengan berterusan pada setiap waktu dan masa agar hitam yang terdapat dalam hati anda dihilangkan Allah Taala. Ini kerana orang yang bertaubat daripada dosanya dengan bersyarat, seperti orang yang tiada dosa.[]
Kitab Tajul Arus
Ibnu 'Athaillah as-Sakandari,
diterjemah Syeikh Othman al-Fantayaani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan