Ogos 27, 2009

Cinta-Nya dan Taubatmu





Sekiranya anda mendapat petunjuk untuk melakukan taubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t., ini bererti anda sebenarnya telah memperoleh keuntungan atau tuah dan juga memperoleh kehidupan yang begitu baik sekali. Ini kerana taubat itu merupakan anugerah dan pemberian Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya yang dikehendaki. Ada kalanya orang yang sudah tersesat jalan dan tidak boleh diselamatkan lagi mendapat petunjuk melalui taubat. Ada kalanya si isteri mendapat petunjuk dengan taubat dan tidak kepada suaminya, dan ada kalanya pula; orang muda (mendapat petunjuk dengan taubat) dan tidak kepada orang tua. Jadi, sekiranya anda orang yang bertuah kerana mendapat keuntungan dengan taubat, ini bererti anda dikasihi Allah s.w.t. Ini kerana Allah s.w.t. ada berfirman,
"Sesungguhnya Allah s.w.t. kasih akan orang yang banyak bertaubat dan orang-orang yang menyucikan dirinya."
[Surah al-Baqarah : 222]

Orang yang mengetahui nilai sesuatu akan berusaha mengambil faedahnya. Sebaliknya, orang yang tidak tahu akan nilai sesuatu, tidak akan mengambilnya. Umpama binatang ternakan, apabila dihamburkan antara permata yaqut dengan gandum atau padi, sudah tentu gandum (atau padi) yang paling disukainya. Ini kerana binatang itu tidak mengetahui faedah permata tersebut.

Begitulah keadaannya, perbezaan antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Oleh itu, hendaklah anda meneliti antara kedua-dua orang ini, iaitu orang yang bertaubat daripada dosa yang dilakukan dengan orang yang enggan berbuat demikian. Jika anda bertaubat, maka sesungguhnya anda berada di kalangan orang yang dikasihi Allah. Oleh sebab itulah Allah Taala berfirman dalam ayat tadi.

Sebaliknya, jika anda enggan bertaubat daripada dosa yang anda lakukan, maka anda tergolong di kalangan orang-orang yang zalim. Ini kerana Allah Ta'ala ada berfirman,
"Sesiapa yang tidak bertaubat daripada dosanya, maka mereka itu orang-orang yang zalim."

Sesiapa yang bertaubat daripada dosanya, ia akan mendapat keuntungan. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mahu bertaubat, dia menanggung kerugian.

Janganlah anda mudah berputus asa dan berputus harapan, daripada memohon ampun kepada Allah Taala akibat dosa yang telah anda lakukan. Umpama anda berkata, "sudah banyak kali aku bertaubat tetapi aku masih melakukan dosa." Ini kerana orang yang sakit seringkali berharap agar ia dapat hidup lebih lama lagi selagi roh dan nyawanya masih berdenyut.

Demikian juga, anda terlalu berharap agar dosa anda diampuni oleh Allah s.w.t. selagi pintu taubat masih terbuka. Jika pada hari ini dosa anda tidak diterima, diharap pada hari yang lain taubat anda akan diterima.

Apabila seorang hamba Allah Ta'ala diterima taubat daripada dosa yang telah dilakukannya, dia akan berasa amat gembira kerana ditempatkan di dalam syurga. Apa yang paling menggembirakannya lagi ialah ia mendapat kurniaan tujuh petala langit dan bumi dan paling istimewa sekali, dia dapat bersama dengan Rasulullah s.a.w.

Oleh sebab itulah, Allah s.w.t. tidak redha anda menjadi pencinta, tetapi Dia lebih suka dan redha jika anda menjadi kekasih. Jadi, yang manakah lebih baik? Tentu sahaja orang yang menjadi kekasih lebih baik daripada orang yang menjadi pencinta. []





Kitab Tajul Arus
Ibnu 'Athaillah as-Sakandari,

diterjemah Syeikh Othman al-Fantayaani


Tiada ulasan: