Disember 31, 2009

Menyingkap Tabir Bahagia





Jadikanlah hidup ini kerana Allah, nescaya kamu akan dapati hidup ini terlalu indah.
Jadikan segala yang kamu lakukan dalam kehidupan adalah kerana Tuhan, nescaya
kamu akan merasai hidup ini hanyalah suatu perjalanan menuju sebuah kehidupan
yang lebih membahagiakan.


Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini
untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin
lakukan kamu ukur redha manusia dan kebencian mereka. Ia membuatkan kamu
menjalani sebuah kehidupan yang penuh pendustaan.


Setinggi mana usaha kamu untuk membuatkan seluruh manusia redha kepadamu,
nescaya pasti ada yang tidak berpuas hati dengan segala tindakanmu. Kamu tidak
akan dapat membuat seluruh manusia berpuas hati denganmu. Bahkan, tujuan
hidupmu bukan untuk itu. Manusia tidak pernah menentukan tempat kesudahannya
di akhirat kelak.


Jalanilah kehidupan ini kerana Allah swt. Itulah tujuan kamu dihidupkan di bumi ini.
Lakukanlah apa yang kamu lakukan dalam kehidupan kerana Allah swt. Jadikanlah
ukuran hidupmu hanya redha Allah swt. Tumpukanlah perhatianmu terhadap
pandangan dan redha Allah swt. Oleh yang demikian, hatimu mudah terarah dalam
menjalani kehidupan ini.


Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


Disember 28, 2009

Cinta Asyura








[PERTANYAAN] Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ya ustaz..

Saya ingin bertanyakan soalan, ustaz. Maaf jika mengambil masa ustaz.

Isunya tentang Karbala, ustaz. Tentang Asy-Syahid Saidina Al-Husein bin Saidina Ali r.a., yang kita cintai.


Sebelum itu, saya ingin nyatakan pengamatan saya (yang masih sedikit).. saya rasa kurangnya pendedahan di rantau ini, dari kalangan ulama tradisi Ahlus-Sunnah wal Jamaah tentang perkara yang akan saya sebutkan ini. Harap ustaz dapat ulaskan, (jika benar pemerhatian saya), mengapa terjadi yang sedemikian itu, dan hikmah di sebaliknya.


Harap ustaz dapat sediakan penjelasan.. bagaimana kita seharusnya memandang peristiwa Karbala dan syahidnya Saidina Al-Husein r.a. ini, supaya tercermin cinta kita kepada Ahlul-Bait baginda Rasulullah s.a.w. Bagaimana jua harus kita berpendirian tentang para pembunuhnya, dan sang pemerintah, Yazid kala itu..


Ya ustaz, apakah cara terbaik untuk menunjukkan kepedulian kita (perlukah dibangkit-bangkitkan peristiwa ini?, contohnya), dan setakat mana patutnya perasaan kecintaan & kebencian kita.. berhubung peristiwa ini, supaya selari dengan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, dan tidak melampaui batas-batas yang memagari akidah kita.

Sangat-sangat berharap agar ustaz dapat membantu..

Terima kasih atas perhatiannya.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Mohd Shafiq)






Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Sungguh hari Asyura juga mengingatkan kita tentang peristiwa syahidnya Jaddina Al-Husein bin Saidina Ali r.a., cucu Baginda s.a.w.. Peristiwa Syahidnya Saidina Al-Husein ini adalah antara peristiwa yang sangat memilukan hati para pencinta Ahlul-Bait Nabi s.a.w.. Namun, para ulama' Ahlus Sunnah tidak menjadikan peristiwa ini untuk dikenang dengan cara golongan Syiah yang mencederakan diri mereka semata-mata untuk menghayati penderitaan Saidina Al-Husein r.a..


Bahkan, para ulama' Ahlus-Sunnah memperingati peristiwa Asyura dengan memperingati banyak peristiwa lain seperti peristiwa Nabi Nuh a.s., peristiwa pembebasan Nabi Musa a.s. dan sebagainya. Oleh sebab itulah, dominasi emosional para ulama' Ahlus-Sunnah bercampur antara kegembiraan dan kesedihan kerana Rasulullah s.a.w. meraikannya dengan kegembiraan (kerana belum berlaku peristiwa Karbala).


Bahkan, menurut sebahagian 'Arif biLlah, Rasulullah s.a.w. sengaja memperingati Asyura dengan kegembiraan walaupun Baginda s.a.w. tahu tarikh tersebut, setelah kewafatan Baginda s.a.w., akan menjadi tarikh syahidnya cucu Baginda s.a.w. yang tercinta. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. sudah diberitahu oleh Jibril a.s. tentang cucu Baginda s.a.w. yang akan dimusuhi oleh kaumnya sendiri. Namun, Baginda s.a.w. memperingati Asyura dengan dominasi kegembiraan kerana umat Islam adalah ummat yang sentiasa berfikiran positif dan menjadikan segenap peristiwa yang sedih untuk mengambil pelajaran.


Kita lihat sebagai contoh, peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. diingati dengan peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w. kerana tarikhnya sama, bagi mendominasikan rasa kegembiraan terhadap nikmat kelahiran Rasulullah s.a.w.. Bahkan, sebahagian ulama' berkata, kegembiraan umat Islam pada maulid Nabi walaupun tarikh tersebut juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. tidak pergi meninggalkan kita sebaliknya masih bersama-sama kita di alam yang berbeza.


Dengan maksud ini juga, seorang syiah bertanya Saidina Abdul Qadir Al-Jailani:

"Mengapa Ahlus-Sunnah menyambut Asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?"

Saidina Abdul Qadir Al-Jailani menjawab:

"Orang yang berduka pada hari ini melihat Saidina Al-Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Saidina Al-Husein diberi anugerah Syahid yang sangat agung di sisi Allah s.w.t."


Dalam sejarah umat Islam, banyak lagi peristiwa yang menyedihkan seperti syahidnya Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali r.a.. Namun, peristiwa-peristiwa tersebut tidak dijadikan sebagai peristiwa khusus untuk memperingatinya kerana umat Islam mengambil pelajaran dan pengajaran terhadap peristiwa-peristiwa tersebut untuk terus mmbagun ummah, bukan sekadar menzahirkan kesedihan saban tahun. Rasulullah s.a.w. juga mempunyai banyak peristiwa sedih dalam kehidupan Baginda s.a.w., namun tidak memperingatinya secara berulang-ulang kerana mempunyai banyak tanggungjawab yang terus dilakukan. Ini tidak bererti Rasulullah s.a.w. tidak peduli tentang kewafatan Saidatina Khadijah, kematian anak-anak Baginda s.a.w., kesyahidan Saidina Hamzah r.a. dan sebagainya.


Bahkan, ketika Saidina Uthman r.a. dibunuh, Saidina Ali r.a. lebih berusaha menumpukan perhatian terhadap pembangunan ummah berbanding mencari pembunuh Saidina Uthman r.a. kerana ianya sukar dilakukan dan akan menjadikan sibuk dengan perkara tersebut berbanding urusan pentadbiran yang lebih besar. Hal ini juga tidak dipersetujui oleh Saidina Mu'awiyyah yang menganggap Saidina Ali r.a. tidak mempedulikan Saidina Uthman r.a., padahal jauh dalam hati Saidina Ali r.a., kecintaan beliau terhadap Saidina Uthman lebih besar berbanding kecintaan Muawiyyah terhadap Saidina Uthman r.a..


Kita digalakkan untuk memperingati segala peristiwa yang berkaitan dengan sejarah Islam. Tetapi, umat Islam mempunyai banyak tanggungjawab yang lebih besar dalam membangunkan ummah berbanding menzahirkan kesedihan dalam peristiwa-peristiwa tertentu. Kesedihan dalam diri secara individu adalah suatu tanda mahabbah terhadap apa yang disedihkan tersebut. Namun, ianya lebih bersifat individual semata-mata, berdasarkan ukuran mahabbah seseorang.


Menzahirkan kecintaan sudah cukup berbanding menzahirkan kebencian. Inilah ukuran para ulama' Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Tidak mengapa memperingati peristiwa-peristiwa sedih tersebut, dalam masa yang sama ianya bertujuan untuk mengambil pelajaran terhadap ketentuan hukum Allah s.w.t. tersebut dan menzahirkan kecintaan kepada mereka yang disebut. Tetapi, perlu disertai dengan pelajaran yang dapat diambil agar masa lepas boleh menjadi pedoman untuk membangun masa hadapan. Inilah konsep Ahlus-Sunnah wal Jamaah.


Cara terbaik untuk melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala adalah dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah s.a.w. (Ahlul-Bait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah s.a.w., iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda s.a.w.. Perlulah kita mendekati dan mencintai Rasulullah s.a.w. melalui kecintaan kita kepada Ahlul-Bait Nabi s.a.w. dan pada memuliakan mereka.

Wallahu a'lam.



Disember 18, 2009

Saat Baharu Berlabuh





Setiap saat yang hadir pasti menghilang pergi,
dalam putaran masa lalu yang takkan kembali.
Kekekalan hanya ada pada-Nya. Bagi selain-Nya,
bagi kita; hanya kesementaraan semata.

Bersandarlah pada Yang Kekal,
demi kemuliaan yang kekal.

Selamat Tahun Baru, 1431 Hijriyyah.

Disember 14, 2009

Rangkaian Ruba'iyat



Rangkaian Ruba'iyat


oleh



Di terbitkan oleh:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu
Kuala Lumpur
1959

____________________________________________________________________



Kepada Para Penyair:
Bangunlah! kalam, kau kuda Pahlawan
Galakkan debu tempuran seni Bahasa;
Tempikkan suaramu dilapangan Puisi
Dan petik lagammu dari taman Fantasi


____________________________________________________________________



I
Ada hakikat difahami dengan samadi,
Ada Hakikat pada akal tak kan mengabdi;
Samudera suram dan luas tak tampak dasarnya
Tapi mudah mata menembus air dikendi.



II
Perkataan dan perbuatan jalanan zahir,
Jalanan batin melintasi langit mendesir;
Jasad menempuh jalanannya yang penuh debu
Ruh berjalan, seperti Isa, diatas air.



III
Hai Ruh!dari dangkal debu pabila merdeka,
Sumpama sukma bebas kau lelangit menghala;
Singgasanamu diangkasa bersama Dewa,
Tak malu kaulama dalam lempung terpenjara!



IV
Sungguh ajaib!wajah chantik tiada bandingnya,
Didalam kalbu chermin ini merajalela;
Anehnya bukan wajah ituanehnya ialah
Kerna chermin ini pun sekaligus wajahnya.



V
Semua chermin dalam alam ini kusangka,
Membayangkan kechantikanmu laksana surya,
Tidak! dalamnya semua meliput sinarmu
Kulihat kau sendiri, bukan bayangmu, nyata.



VI
Apa untungnya pipi merah laksana bunga
Rupa jelita, rambut memahkotakan muka?
Pabila kechantikan murni meliput alam,
Guna apa kau memeluk kechantikan fana?



VII
Minumlah banyak-banyak anggur asmara dunia,
Gar dapat bibirmu nan lebih suchi merasa;
Tapi ingat! janganlah dunia mabukkan ruhmu
Lintasi jambatan ini, dengan chepat, mara.



VIII
Churahkan pada bibirku anggur purbakala
Berilah! agar dapat alam baru kuchipta,
Lupakanlah bagiku dunia yang mengabaikan,
Agar dapat kunyanyikan pujian tuk kau saja.



IX
Si prajurit menchari shahid di Jihad, runtuh,
Si ashik dilapangan Ishik tewas terbunuh;
Tetapi derajat shahidnya terlebih tinggi :
Dia ditikam kawan, bukan dileburkan musuh.



X
Dalam segala nyanyianku kaulah kupuja,
Dalam segala chiptaanku kaulah terchipta,
Tetapi mreka hanya tersenyum mendengarnya, dan,
Melihat sekali, lalu menggeleng kepala.



XI
Walau pun Izrail mengakhiri pujianku,
Tetap bergelora api cinta dalam kalbu;
Choba bongkar nanti tempat debuku terkubur-
Pasti kapan berasap, terbakar api rindu!



XII
Ah! berderita hatiku ndak berkata-kata,
Chintaku tak berbatas, hasrat menyala-nyala,
Tapi bisu mulut yang telah merasa chinta
Sia-sia hati berkobar ndak menchari suara!



XIII
Sgala rupa dalam keadaan menjelma,
Hanya ada sesaat, lalu lenyap binasa;
Demikianlah artinya kalimat mendalam:
Bentuknya berubah-ubah pada tiap masa.



XIV
Masa bukanlah seumpama air mengalir,
Tapi sumpama titik khayal nantiasa mungkir;
Yang Lampau, yang Hadir, dan yang Kemudian kelak
Semuanya didalam sesaat abadi Hadir.



XV
Dari setitik seribu lingkaran menjelma,
Dari angka satu berasal semua angka,
Inilah asasnya keadaan Makhluk jelata :
Dari alam yang ghaib timbul alam yang nyata.



XVI
Aku telah ada pada masa sgala Nama
Dan keadaanku yang berNama belum terchipta,
OlehKu Nama dan yang berNama dinyatakan
Pada masa sebelum Aku dan Kita.



XVII
Tanyaku : 'Siapakah empunya kechantikanmu?'
Jawabnya : 'Segala nan wujud kepunyaanku!
Ashik, Mashuk, dan Ishik ialah kesatuanku;
Juita, chermin, dan mata yang melihat pun aku.'



XVIII
Terlontar dilautan yang jauh pantainya, sesat,
Rakit Insan diumbang-ambingkan taufan Kodrat,
Tapi Kadar merampas kemudi, dan menetap,
Mengikuti peta yang kalam telah menchatat.



XIX
Terimalah, hai Tuhanku, hambaMu derhaka,
Ruhku surambiarlah chahyaMu jadi pelita,
Kalau shurga hanya upah tuk amal baikku
Kemana kemurahanMudan rahmatMu mana?



XX
WujudNya ghaib dalam nadi Makhluk jelata,
Sumpama raksa mengalir menyangkal upaya,
Membina sgala bentuk dari 'alif' hingga 'nya'
Tapi semua ubah binasa, melainkan Dia.



XXI
Waktu remaja, selalu kusinggah mendengar
Alim Ulama sebok berdebat dan bertengkar,
Tentang Ini dan Itutapi selalu saja
Dari pintu kumasuk juga aku keluar.



XXII
Kepada langit berlipat-ganda kuberseru,
Menanya : 'Ngan pelita apa Kodrat memandu
Anak-anaknya yang sesat dalam kegelapan?'
Maka Langit menjawab : 'Ngan fahaman yang buntu!'



XXIII
Kenapa tiada taufan mengamuk dilautanmu?
Jiwamu terbelenggukemanakah imanmu?
Sia-sia kau melaung menuduh tindasan Takdir
Kenapa tidak kau menjadi Kodrat Tuhanmu?



XXIV
Hai Pengembara!marilah berlena di Lembah
Aman abadi, dimana sgala serba indah
Hingga melati yang kau petik dan chium, akan
Berbisik padamu : 'Aku ini chermin Allah!'



XXV
Iram memang telah lenyap ngan sgala mawarnya,
Piala Jamshid bergelang tujuh entah kemana;
Tapi anggur masih ngalirkan mirahnya purba,
Ditepi air masih semerbak taman bunga.



XXVI
Kalau hatimu tak tertipu oleh yang khayal,
Jangan kau takabur kerna kecherdasan akal;
Matamu terbebas dari kekhilafan itu
Oleh kerna haus ditekakmu tidak kekal.


____________________________________________________________________


Disember 12, 2009

Hayat Indah






Di sisi tiang berukir atas renda sejadah
kudus tulus doa fakir yang amat gundah.
Khusyuknya utama mengharap restu abadi
surah-surah suci demi hidup dan mati.


Meluncur unggas menara tergetar rumput taman,
bayu berlagu syahdu di kalbu yang rindu;
bagitu buana berdetak dalam hikmah masa,
begitu ghairah hasrat seganjil rahsia senja.


Yang dikenal wajah dan disangsi maruah;
disapa cakerawala, yang diuji manusia.
Demi hari demi sepi hati inti diri
dan demi malam salam menghiasi alam.


Bilal dan bibir, jemaah dan fakir,
tamsil kasih dalam kemelut getir.
Awal teka-teki di tangan yang alpa
kini rendang mengharumi darma ibadah.


Dari hening azan nafas meranum iman;
meresap rindu ke puncak reda Tuhan -
pesan tak bersuara di hati telah terkata
jiwa seindah rimba anugerah Maha Kuasa.


Rehal dan Quran, serindit dan nisan
damai dalam firman Allah Yang Esa,
terpercik kirai cahaya meluhuri dada
dan sabda Muhammad mengindahi hayat kita.



27-30 Disember 1996


*Kehidupan Islami itu amat mensyahdukan,
apalagi anugerah untuk hidup itu sendiri sudah sesuatu yang indah,
betapa pun geloranya.