Disember 08, 2009

Jaring-Jaring Du'a





Sabda Nabi saw.:

"Barangsiapa dibukakan baginya pintu kebaikan, maka cepat-cepatlah mendatanginya, sesungguhnya ia tidak tahu bila pintu itu akan ditutup baginya."


Bersegeralah mengambil keuntungan dari pintu kehidupan selagi belum ditutup untukmu. Perbanyaklah melakukan amal-amal baik selagi masih ada kesempatan. Cepatlah memasuki pintu taubat sementara pintu itu terbuka bagimu. Gunakanlah pintu du'a selagi ia terbuka bagimu. Gunakanlah kesempatan bergaul dengan orang-orang soleh selagi kesempatan itu terbuka untukmu. Bangunkanlah apa yang telah kamu rosakkan. Cucilah apa yang telah kamu lumuri dengan najis. Perbaikilah apa yang telah kamu robohkan. Bersihkanlah apa sahaja yang telah kamu kotori. Kembalikanlah apa yang telah kamu ambil. Kembalilah kepada Tuhanmu dari kepergian dan larimu.


Wahai anak muda, tidak ada di sini kecuali Al-Haq Azza wa Jalla. Jika kamu bersama Khaliq, maka kamu adalah hamba-Nya. Jika kamu bersama makhluk, kamu adalah hamba mereka.


Tidak ada alasan bagimu, hingga mengembara hatimu. Tinggalkan sahaja segala sesuatu dengan nuranimu. Tidak tahukah kamu bahawa pencari Al-Haq Azza wa Jalla mesti meninggalkan semuanya. Sungguh, dia harus yakin bahawa segala sesuatu adalah makhluk, sedangkan makhluk adalah hijab antara dirinya dengan-Nya. Dengan apa pun dia bersamanya, akan menjadi hijab baginya.


Wahai anak muda, pasanglah jaring-jaring du'a, kembalilah pada redha. Janganlah kamu berdu'a dengan lidah, sedangkan hatimu menentang.


Dzikrullah di hati orang-orang yang ma'rifat telah melupakannya pada sesuatu yang lain. Jika keadaan telah menjadi demikian, maka syurga menjadi tempat kediaman, syurga menjadi pilihan, dan syurga adalah tempat yang dijanjikan. Sesuatu yang istimewa di dunia ini adalah redha dan taqdir, dan dekatnya hati kepada Allah swt., bermunajat kepada-Nya, dan terangkatnya hijab antara dia dengan-Nya. Orang yang memiliki hati sedemikian, dalam khalawatnya bersama Al-Haq Azza wa Jalla dalam semua keadaannya merupakan sesuatu yang tidak terlukiskan. "Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (asy-Syura : 11)


Adapun sesuatu yang dijanjikan itu adalah orang-orang mu'min akan memandang wajah Allah swt. tanpa hijab. Tidak diragukan lagi, semua kebaikan datangnya dari Allah dan semua kejahatan dari selain Dia.


Kebaikan itu adalah dalam menghadap kepada-Nya, dan keburukan itu adalah kerana berpaling dari-Nya. Setiap amal yang kamu harapkan upahnya adalah untukmu, dan setiap amal yang dilakukan kerana Dia bererti untuk-Nya. Jika kamu beramal dan meminta ganti, maka balasannya adalah makhluk. Jika kamu beramal untuk mencari redha Allah swt., balasannya adalah kedekatanmu dengan-Nya dan memandang kepada-Nya, kemudian kamu tidak akan meminta ganti atas semua amalmu. Apalah ertinya dunia, akhirat, dan segala sesuatu selain Dia, jika dibandingkan dengan Dia?


Carilah Yang Memberi nikmat, jangan hanya mencari nikmat. Carilah tetangga sebelum mencari rumah. Dialah yang ada sebelum segala sesuatu ada. Dialah yang mengadakan segala sesuatu, dan wang itu ada sesudah sesuatu. Kamu harus selalu mengingat maut, sabar dalam menghadapi ujian, dan bertawakkal kepada Allah dalam semua keadaan. Jika kamu memiliki ketiga-tiga hal (keadaan) tersebut, kerajaan akan datang kepadamu. Dengan mengingat maut, benarlah zuhudmu. Dengan bersabar, kamu akan berhasil memperoleh apa yang kamu inginkan dari Tuhanmu. Dan dengan dengan tawakkal, segala sesuatu akan keluar dari hatimu, dan kamu akan berhubungan dengan Tuhanmu Azza wa Jalla. Dunia, akhirat dan segala sesuatu selain Dia akan tunduk kepadamu kemudian akan menghampirimu dari segala penjuru. Demikian pula perlindungan dan penjagaan. Tidak ada jalan bagi satu makhluk pun yang hendak menyakitimu. Segala arah tertutup, segala pintu terkunci. Jika demikian, kamu termasuk orang yang disebut oleh Allah swt., "Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa ke atas mereka." (Al-Isra' : 65)


Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
Petikan Majlis Keempat, al-Fathur Rabbani wal Faidhur Rahmani
Menjadi Kekasih Allah


Tiada ulasan: