Disember 08, 2009

Munajat Orang-orang yang Menyesal






Wahai Tuhanku,
Dosa-dosaku telah memakaikanku
akan baju kehinaanku.
Kejauhan daripadaMu
menyelimuti daku
dengan pakaian kerendahan
dan kemiskinanku.


Jenayah besar yang telah ku lakukan
telah mematikan hatiku.
Maka, hidupkanlah hatiku
dengan taubat (keampunan) daripada Mu,
wahai Cita-citaku dan harapanku,
wahai yang mendengar permintaanku
dan mengetahui hajatku.


Demi keagungan Mu,
aku tidak dapati selain Mu
yang dapat mengampuni dosa-dosaku.
Dan aku tidak dapati
penolong yang berkuasa
untuk memulihkan rasa patah hatiku.


Aku telah tunduk kepada Mu
dengan penuh rasa ingin kembali kepada Mu
dan aku telah bersimpuh
dengan penuh rasa mencari ketenangan di samping Mu.


Oleh yang demikian,
jika Engkau
masih
menghalau daku
dari pintu anugerah Mu,
kepada siapa lagi
dapat ku tuju?
Jika Engkau
tidak menerimaku
untuk bersimpuh
di samping Mu,
kepada siapa lagi
dapat ku tuju?


Betapa malangnya diriku
dengan segala keterburuan
dan nodaku.
Betapa hinanya daku
dengan amalan-amalan burukku
dan kesalahanku.


Aku meminta kepada Mu
wahai Maha Pengampun akan dosa besar,
wahai Pemulih mereka yang patah harapan,
agar Dikau ampunkan dosa-dosa besarku,
dan menutup kehinaanku yang tersembunyi,
dan jangan kamu biarkan daku keseorangan
pada hari Kiamat nanti
tanpa ditemani kedinginan
keampunan Mu dan kemaafan Mu.
Dan janganlah kamu telanjangkan daku
daripada kecantikan anugerah dan lindungan Mu.


Wahai Tuhanku,
Naungi dosa-dosaku
dengan keredupan rahmat Mu.
Utuskanlah awanan kelembutan Mu
ke atas keaiban-keaibanku.


Wahai Tuhanku,
Tidakkah seseorang hamba yang terbelenggu itu
kembali melainkan hanya kepada Tuannya?
Adakah pula selain daripadaNya
yang sanggup menghadapi kemurkaanNya kecuali diriNya?


Wahai Tuhanku,
Kalaulah penyesalan
terhadap dosa itu adalah taubat,
maka sesungguhnya demi keagungan Mu,
aku ialah dari kalangan mereka
yang menyesali dosa-dosa mereka.
Kalaulah meminta ampun daripada kesalahan itu
suatu langkah menujuMu (dengan taubat)
maka aku dari kalangan mereka
yang meminta ampun kepada Mu.
Hanya kepada Mu pengaduanku
sehingga Dikau meredhaiku.


Wahai Tuhanku,
demi kekuasaan Mu ke atas diriku
maka ampunilah daku.
Dengan kemuliaan Mu
(kelembutan Mu) terhadapku
maka maafkanlah daku.
Dengan ilmu Mu tentangku,
maka kasihanilah daku.


Wahai Tuhanku,
Engkaulah yang membuka
salah satu pintu kemaafan Mu
kepada para hamba Mu,
maka Engkau namakan
pintu tersebut sebagai taubat.
Engkaulah yang berfirman:
“Bertaubatlah kepada Allah
dengan taubat nasuha”.
Maka, apakah alasan lagi
bagi sesiapa yang lalai
daripada memasuki pintu tersebut (taubat)
setelah ianya dibuka oleh Mu?


Wahai Tuhanku,
Kalaulah dosa daripada hamba Mu
itu suatu yang buruk,
maka yang indah ialah
keampunan dari sisi Mu.


Wahai Tuhanku,
Bukanlah aku orang yang pertama
menderhakai Mu,
lalu Engkau mengampuninya juga;
dan bukan juga aku orang pertama
yang dibentangkan kebaikan Mu,
lalu Engkau menganugerahkan lagi
anugerahMu kepadanya.


Wahai yang menjawab
permintaan orang yang gundah-gulana,

Wahai Maha Penolak
kemudaratan.

Wahai yang Maha Agung
kemuliaanNya.

Wahai yang Maha Mengetahui
apa yang tersembunyi,

Wahai yang Maha Indah
Tabir KeampunanNya.


Aku meminta syafaat
dengan sifat pemurah Mu
dan kemuliaan Mu
kepada Mu.

Aku bertawassul
dengan kasih sayang
dan rahmat Mu
di sisi Mu,

maka Engkau perkenankanlah doaku
dan janganlah Engkau kecewakan harapanku.


Terimalah taubatku
dan hapuskanlah dosaku
dengan anugerah Mu
dan rahmat Mu
wahai Tuhan yang Maha Pengasih…



Antara Munajat Al-Imam Al-Habib Al-Syarif Saiyyidina Al-Husein r.a..



Tiada ulasan: