Oleh Faisal Tehrani
Di sebuah restoran: Jam sudah melepasi 3 pagi. Saya dan teman sudah nyaris mengangkat kaki untuk melangkah pulang. Pemuda tersebut nekad menghampiri dan duduk antara kami lalu bertanya kepada saya dengan keberanian yang saya sanjungi lagi hormati: 'Jadi siapakah yang benar?'
Demi Tuhan, soalan ini amat mudah dijawab dengan emosi tentunya. Tetapi biarlah saya menjawab dengan jujur kala embun sedang turun singgah di hati kami.
Saya hanya mahu mengajak pemuda tersebut, pembaca-pembaca saya kepada kehidupan beragama. Itu sahaja. Kalau ada pembaca yang rasa saya mahu memesongkan mereka; bukan itu niat saya. Selidiklah misalnya motif Salsabila dalam kehidupan beragamanya seperti yang saya ungkapkan dalam Tunggu Teduh Dulu.
Saya memberitahu pemuda tersebut setelah jam melepasi 3 pagi bahawa wahabi mencintai agama, syiah mencintai agama, ahlus sunnah wal jamaah mencintai agama. Kita mengimani Islam adalah agama yang hak. Bukan agama yang terbaik kerana kalau Islam sekadar agama yang terbaik tentulah ada agama yang jatuh di tempat kedua - baik - kemudian di tempat ketiga - kurang baik. Tetapi Islam bukan begitu. Islam agama yang hak.
Sungguh, saya percaya manusia perlu kembali kepada kehidupan beragama. Kerana itulah saya menulis Advencer Si Peniup Ney, 1511H Kombat, Detektif Indigo, Ketupat Cinta, dan macam-macam lagi. Memang, saya ada melakukan kesilapan meneroka pendekatan penulisan yang lalai, kerana saya manusia jadi saya membuat kesilapan. Mujur.
Marilah kembali. Kembali kepada agama tidak ada sempadan mazhab. Kembali kepada akhlak yang mulia tidak ada sempadan sekolah pemikiran. Jadi, ada kisah kecil saya ingin dikongsi bersama: sahabat saya Salim, seorang wahabi asal Lahore yang menetap lama di Mekah. Dan setiap Isnin serta Khamis dia membahagi-bahagi kurma dan kahwa di Masjidil Haram untuk orang berbuka puasa. Memang dia pernah menepis kurma yang hampir masuk ke dalam mulut saya dengan alasan ia sedekah seorang jemaah Iran, dan sedekah jemaah tersebut menurut beliau adalah haram diterima. Saya ingin membantah, tetapi ya saya tahu Salim mencintai agama dengan cara dia. Justeru saya hanya tersenyum. Dia jadi menyesal dengan perbuatan tersebut. Dia memberitahu saya kemudian, 'Kalau mahu makan maka makanlah tetapi syaratnya mesti makan kurma daripadanya juga.'
'Dengan sukacita!' Jawab saya.
Ada juga teman saya, seorang syiah tetapi akhlaknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dia percaya dia sudah menemui kebenaran dan menghukum sang anu begini sang anu begitu. Dia bahkan melakukan yang tidak sepatutnya dilakukan. Saya membalasnya dengan terjahan keras, bahawa saya ada teman-teman wahabi yang akhlaknya luar biasa juga. Dia pun rasa terpukul. Menjauhkan diri. Kemudian, saya juga punya teman ahlus sunnah wal jamaah yang ikhlas. Kita tahu orang yang ikhlas. Orang ikhlas dapat dibezakan daripada orang berpura-pura. Memang sukar dinyatakan cara membezakan itu tetapi argh kita boleh tahu sendiri. Orang jika ada agenda kita memang tahu entah bagaimana. Allah memberi isyarat kepada kita meski kita bukan sampai kepada makam terbuka hijab yang ghaib.
Demi, saya hanya mahu mempercayai yang kebenaran beragama, kehidupan beragama lah yang harus didahulukan. Saya tidak percaya peri pentingnya label-label tertentu.
Kita beragama dengan motif yang murni - kita mahu kebaikan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Imam Ali menurut syiah, Saidina Ali menurut Sunni apabila ditanya seorang Yahudi tentang Rasulullah saw telah mengatakan kira-kira begini; 'Bagaimana aku dapat melukiskan akhlak Rasulullah sedangkan akhlak baginda Nabi Muhammad itu amat agung, seperti firman Allah: Sesungguhnya engkau berada pada akhlak yang agung.'
Begitu saat Ummul Mukminin Aisyah ditanyai akhlak suaminya, sembilan tahun dia mendampingi Rasulullah saw maka Aisyah menjawab kepada Sa'd bin Hisyam: Akhlaknya al-Quran.
Sukar, dalam dunia hari ini yang kita berdepan dengan segala macam masalah dunia, problemo masyarakat, dan pancaroba noda kejiranan - untuk mempertahankan kebenaran satu-satu mazhab sahaja. Mazhab yang ada ialah mazhab akhlak, itulah mazhab yang benar. Jadi, jika dia seorang syiah pendokong ahlul bait sekalipun jika akhlaknya mencemar nama Saidina Hasan dan Saidina Husin apalah ertinya dia itu mencintai ahlul bait. Seorang syiah akan faham apa maksud saya ini, tidak perlu saya huraikan. Seorang wahabi pula jika rajin menjaga muamalah dengan Tuhan serta manusia, berserta akhlak yang luhur sentiasa; maka dia adalah pendokong mazhab akhlak yang mulia itulah.
Pun syiah, sunni atau wahabi sama-sama sahaja boleh terjerumus dalam lubang setan lalu menjadi tidak berakhlak. Inilah mazhab yang tidak benar. Mazhab yang batil. Kerana kebatilan mengajak kita jauh dari kehidupan beragama. Kebatilan mengajak kita jauh dari Tuhan.
Mazhab akhlak. Inilah perjuangan yang payah. Mazhab Akhlak namanya.
Jadi itulah yang benar, akhlak yang agung; bilang saya kepadanya di saat jam hampir lima pagi. Dia berpuas hati.
Saya dengan kerdilnya, berusaha untuk mencapai jejak Nabi dan para ahlul bait yang suci dari segi akhlak mereka. Susah juga dalam keadaan masyarakat kita yang punah ranah dan kian merosot. Saya pun manusia biasa. Ramai orang lain seperti saya juga; mencuba perihal yang sama. Sedaya upaya kita menjaga akhlak kita, meningkatkannya. Kenapa? Kerana kita cinta nabi dan keluarganya lantas untuk itu kita perlu mengikut suri teladan yang mereka tinggalkan. Jadi memang susah menjadi benar kerana benar itu berakhlak mulia. Tapi dalam susah itu kita semua mencuba; saya, teman itu, pemuda tersebut termasuklah anda. Tidak kira apa bangsa pun, berapa umur pun atau apa kerjaya sekalipun. Kita pun kembali kepada kehidupan beragama.
Apa motifnya kita punya agama sebegini hak iaitu Islam?
Jawabnya: untuk mendapat kebaikan. Dunia baik. Akhirat pun baik. Nah, marilah kita kembali kepada agama. Dan agama itu adalah akhlak. Kalau tiada akhlak tiada agama. Jadi pentingkah 'siapa yang benar' dalam dunia yang penuh kesesatan hari ini? Sedangkan kebenaran itu dapat disandarkan kepada akhlak agung yang menyalin al-Quran?
Jadi jawapan saya, yang benar adalah mereka yang dapat mengikut akhlak Rasulullah saw, dan akhlak Rasulullah yang agung itu adalah al-Quran.
Pemuda yang datang menyergah dengan niat menduga itu berasa damai. Saya sendiri berasa aman. Saya percaya itu. Pembaca-pembaca di sini percayakan itu.
Jangan gugat kepercayaan kita dalam hal itu. Kita berusaha keras melakukannya. Usaha menggugat itu di sini, di luar atau di mana sahaja nyatalah menyalahi tujuan kehidupan beragama. Menyalahi akhlak.
Mazhab akhlak. Moga kita sama-sama dapat menjadi pengikut 'mazhab yang benar ini'. Dan tidak terjatuh dalam kelompok mazhab tidak berakhlak.
Baca: Datang Dari Sukma, Masuk Menyelinap Sukma

Tiada ulasan:
Catat Ulasan