November 23, 2009

Hati Yang Berkata, "Baik."





Menentang Al-Haq Azza wa Jalla atas takdir yang telah ditentukan-Nya bererti kematian agama, kematian tauhid, bahkan kematian tawakkal dan keikhlasan. Hati seorang mukmin tidak mengenal kata mengapa dan bagaimana (yang mengundang sangkaan buruk atas pengaturan-Nya yang terbaik), tetapi ia hanya berkata, "Baik."


Nafsu memang mempunyai waktu untuk suka menentang. Barangsiapa ingin memperbaikinya, ia harus melatihnya sehingga aman dari kejahatannya. Semua nafsu itu amat jahat. Bila dilatih dan menjadi jinak, maka ia akan menjadi sangat baik. Ia akan setia menjalankan seluruh ibadah dan meninggalkan kesemua kemaksiatan. Pada saat itu, nafsu telah tenang; hilang kejahatannya, dan tidak berhubungan dengan makhluk. Bahkan ia akan bertemu nasabnya dengan ayahnya, Nabi Ibrahim as. Jika ia telah keluar dari kongkongan nafsunya, ia akan berjalan tanpa keinginan dan hatinya menjadi tenang.


Tidak ada sesuatu yang samar pada pandangan Allah swt. Bersabarlah bersama-Nya sesaat, sungguh setelah itu akan terlhat kelembutan dan kasih sayang-Nya selama bertahun-tahun. Pemberani yang sebenarnya adalah orang yang mahu bersabar sesaat. "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar." (al-Baqarah, 153)


Bersabarlah dalam menunggu pertolongan dan kemenangan. Bersabarlah bersama-Nya. Sedarlah kepada-Nya, dan janganlah melupakan-Nya. Janganlah kamu sedar setelah mati, kerana sedar setelah mati itu tidak berguna bagimu. Bangunlah sebelum kamu dibangunkan, supaya kamu tidak menyesal pada hari penyesalanmu yang tidak berguna; dan perbaikilah hatimu, sesungguhnya jika hatimu baik, maka seluruh keadaanmu menjadi baik. Nabi saw. bersabda, "Dalam diri anak Adam ada segumpal daging - bila ia baik, akan baiklah seluruh jasadnya; dan bila ia buruk, akan buruklah seluruh jasadnya. Ingat, ia adalah hati."


Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
Petikan Majlis Pertama, al-Fathur Rabbani wal Faidhur Rahmani
Menjadi Kekasih Allah





5 ulasan:

Rozy berkata...

Allahumma thohir quluubana Ya Rahmaan...

mohd shafiq abas berkata...

Amiin.. Ya Rahiim..

Nur berkata...

Salam adik Shafiq,

Tidak ada sesuatu yang samar pada pandangan Allah swt. Bersabarlah bersama-Nya sesaat, sungguh setelah itu akan terlhat kelembutan dan kasih sayang-Nya selama bertahun-tahun.

Ayat diatas sentiasa terngiang2 di mata batin akak. Setiap kali kelelahan, akak pastinya akan teringat ayat ini, bahawa sabar itu amat pedih untuk melakukannya, tapi akak yakin, bahagia seperti madu pasti akhirnya.

Syukran dik, tahukah dikau bahawa kata-katamu sentiasa memberi harapan dan cahaya kepada ramai orang?

Teruskan menulis, kerana timbangan tulisan mu itu insyaAllah lebih berat dari Bukit Uhud!

Doakan kami disini, berjaya melalui ujian-ujian getir dan perit, atas nama Jihad dijalan-Nya.

mohd shafiq abas berkata...

Salam kak Fakhzan,

Tiada yang lebih jelas pandangannya, selain bagi mereka yang dekat pada-Nya. Dalam pandangan mereka yang tercahayakan, setiap cubaan (yang adakala mustahil terlihat kebaikan bagi diri, padahal bukan begitu bagi mereka - moga Allah sampaikan pada tingkat mereka ini), pasti terselit kelembutan - setiap kesusahan pasti tampak kehalusan hikmah-Nya.

Kerana hanya dengan melebur, emas murni terasing dari segala unsur yang mencemarinya. Kerana bermula kosong, sesuatu bekas dapat terisi semula. Kerana dengan menggilap, kabut mengelabu cermin hilang, dan jernih kilau kembali menemui pantulan sinarnya.


Akak, seperti sungai yang mengalir, tahulah kita memberi itu suatu kebahagiaan. Seperti pohon yang meneduh, dalam diam setia memberi buah walau pernah dilempar batu dan dipatah dahannya. Seperti bintang di langit, meski bisu letaknya yang tetap di langit malam menjadi petunjuk arah bagi mereka yang kehilangan.


Usaha ini, hanya sekadar yang teramat sedikit dari diri yang hina, sedang ia sebenarnya sangat-sangat mengharapkan belas kasih-Nya untuk dipandang dalam pandangan-Nya yang sarat Kasih dan Cinta.

Tersemat di balik lipatan waktu sedari awal, nawaitu diri kala kelapangan: meski sekadar sedikit, menyampaikan mutiara yang tersembunyi di balik halaman-halaman kitab yang jarang terjangkau, buat diri dan mereka yang dahagakan kebenaran dan cahaya-Nya.



Sebagaimana seorang yang tidak mampu memenuhi keperluan dirinya sendiri, begitulah dia tidak akan berdaya memenuhi keperluan orang lain. Kerana itu, bersandar pada kesempurnaan-Nya adalah segalanya, mudah-mudahan benar-benar mendasari setiap sesuatu.


Doa itu tujukan buat kita semua ya akak, kerana jelas, siapapun tak bisa hilang keperluan untuk berdoa kepada-Nya, dan buatnya didoakan buat-Nya.


Kejayaan hanya milik-Nya.. moga Dia memasukkan diri ini dan semuanya, ke dalam golongan yang dikurniakan-Nya apa yang dimiliki-Nya. Menyaksikan tanda-tanda-Nya, di sini. Menatap Wajah-Nya, di sana. In sya Allah.

Moga Allah memberkati usaha insan-insan yang kerdil ini, yang sentiasa mendambakan petunjuk kedekatan-Nya. Sampaikan semua hamba ini kepada Cinta. Wahai Cinta.

Amiin.

Nadia Izzaty berkata...

Amiin.. Ya Allah.
Amiin.. Ya Rabbal 'Aalamiin.