oleh Faisal Tehrani(Entri ini diambil sepenuhnya dari laman Faisal Tehrani)
Pendahuluan:
Saya ulangi dengan tegas di sini, saya bukan parti sentrik. Saya tidak mengundi parti tetapi menekuni calon yang ditawarkan oleh parti bertanding. Saya juga telah merujuk silang dan meneliti manifesto semua parti, dan Insya-Allah akan bertindak dengan menggunakan akal (bukan emosi). Pemerhatian ini saya kira dapat dilakukan dengan cukup saksama dan berhati-hati kerana saya merupakan graduan syariah politik UM (1998) yang menjadikan minor sains politik sebagai bidang pilihan.
Pengarang di Malaysia telah turun padang menulis mengenai politik seawal Pak Sako (Putera Gunung Tahan), A.Samad Said turut menyentuh iklim politik era 80an dalam Hujan Pagi dan Wira Bukit, kita tentu tidak dapat menafikan keghairahan Shahnon Ahmad dalam banyak karyanya seputar politik (yang klasik tentulah Shit meskipun Tunggul-tunggul Gerigis jauh lebih 'political'), Kawin-kawin menampilkan era hubungan PAS-Semangat 46 karya Azizi Abdullah, dan ramai lagi pengarang yang tidak 'tersebut' di sini. Novel pertama saya sendiri Perempuan Politikus Melayu merakam cuaca politik era sebelum 1997 dengan menyorot isu rampasan tanah di Kerpan.
Pemerhatian sebagai pengarang yang sedar bahawa sastera adalah bahagian dari politik, mendorong saya untuk menyorot 'suasana kempen PRU 12'. Ini untuk membolehkan saya merumuskan satu konklusi, iaitu calon mana yang bakal saya undi. Saya telah menggunakan segala ilmu yang saya perolehi ketika menuntut dalam bidang sains politik untuk melakukan pemerhatian ini.
Sekali lagi, sebagai pengundi independen saya tidak menggunakan emosi sebagai kayu ukur tetapi melihat 'real' politik dengan menghadiri ceramah-ceramah yang dianjurkan dan mendengar kedua belah pihak.
Namun begitu, saya dapati kempen PRU 12 dicemari oleh beberapa perkara yang membuatkan saya berasa amat jengkel. Rumusan pemerhatian saya terhadap kempen ini, antara lain ialah:
Lihat nama pada lesen memandu ini dengan tekun, kemudian perhatikan pula...
...nama dan nombor kad pengenalan pada daftar pemilih ini, tidakkah ini 'sesuatu'?
1. Oposisi berjaya menimbulkan keraguan yang cukup dan memadai bahawa terdapatnya banyak aspek yang menimbulkan persoalan dalam perjalanan pilihanraya ini. Isu ini dinamakan pengundi hantu. Perhatikan sahaja bukti di atas, nombor kad pengenalan pada lesen memandu dan nombor kad pengenalan pada daftar pemilih SPR sama tetapi orangnya berbeza gender dan bangsa. Hujah oposisi bahawa pilihanraya ini tidak bersih dan dicemari 'phantom voters' pada pandangan saya ternyata relevan.
2. Papan kempen yang banyak mendokong manifesto parti tertentu mulai dinaikkan sejak tiga minggu lepas. Namun begitu fakta yang ada sangat mengelirukan. Untuk pengundi yang menggunakan lojik; papan kempen ini amat memualkan, kerana setahu saya tidak ada kedai yang menjual harga tepung seperti ini. Namun, untuk pengundi yang tidak menggunakan akal atau tidak peduli, papan kempen ini sedikit sebanyak dapat 'membohongi' pengundi dan rakyat.
3. Saya sempat menghadiri ceramah kempen semua parti bertanding. Saya dapati parti yang bertahan tidak menawarkan 'substance' ketika berkempen. Persoalan dan isu seperti kenaikan harga barang tidak dijawab. Penggunaan artis untuk berkempen juga menyebabkan rakyat 'terseleweng' dari isu sebenar. Aspek sensasi ini menyebabkan kempen parti bertahan menjadi tidak bernilai, sia-sia dan sama sekali tidak mendalam. Dalam gambar ini kita dapati seorang artis turun berkempen untuk seorang calon yang bertanding di Rembau.
4. Saya juga 'ahli media', sikap tidak profesional media utama negara ini sangat menjengkelkan dan meletakkan kedudukan pengamal media di takah bawah, mereka sama sekali mengabaikan hak pengundi dan masyarakat. Pengalaman menetap di Turki dan memerhati pilihanraya majlis bandaran pada tahun 2004 menunjukkan semua parti diberi hak yang sama untuk berkempen, malah ada juga debat terbuka yang dapat membuka mata pemilih untuk menilai calon (bukan parti). 'Kemelampauan' media ini saya dapati telah diakui oleh sebahagian besar 'ahli masyarakat' yang ditemui dan semua menyatakan rasa meluat. Saya ingin sahaja mengingatkan bahawa sikap bias media boleh 'makan tuan'.
5. Bentuk 'propaganda kotor' saya dapati telah dilakukan oleh sebahagian besar parti bertanding tetapi terdapat sesetengah 'kekotoran' ini begitu menjolok mata, malah menjolok akidah. Kempen simpang jalan seperti ini amat mengejutkan dan saya kira wajar mendapat perhatian ulama dari sebelah oposisi ataupun pemerintah.
6. Saya terkejut mendapati tiadanya pertanggungjawaban dalam hal caretaker government. Ketika mempelajari bidang sains politik di universiti dahulu, aspek kerajaan sementara ini menjadi satu subjek khusus yang amat dititik-beratkan. Laporan akhbar NST ini misalnya memaparkan gambar pimpinan tidur nyenyak bersama anak perempuannya dalam jet milik kerajaan ketika terbang dari Kota Bharu ke Kuantan. Menurut NST pemimpin ini ke Kelantan untuk berjumpa penanam tembakau di Bachok (beliau turut mengambil kesempatan memperkenalkan calon MB Kelantan partinya iaitu Awang Adek), pemimpin tersebut turut singgah di Pasir Puteh untuk merasmikan bangunan baru LPP Daerah, dan kemudian ke SMJK (C) Chung Hwa di Kota Bharu, dan kemudian ke Kubang Kerian menerima borang ahli UMNO dari ahli PAS yang keluar parti. Terakhir beliau telah ke Pengkalan Kubor pula untuk upacara letak batu asas pembinaan masjid bersama pimpinan partinya, dan bendera partinya.Kesimpulan:Kempen PRU 12 dapat dikatakan berjalan dalam suasana yang tidak adil, berat sebelah dan penuh kekotoran. Hal ini adalah sesuatu yang serius sekiranya kita tetap bercita-cita untuk menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Kita tentu tidak mahu menjadi seperti negara Singapura yang menikmati kemakmuran tetapi kehilangan 'kebebasan dan hak'. Apabila 'prosperity' dan 'freedom' bertembung, letak duduk 'freedom' akan menjadi kayu ukur mutu kemakmuran itu.
Enam perkara di atas akan sangat berguna apabila turun rumah untuk memangkah calon parti manakah yang berhak menjadi wakil saya kelak. Saya sama sekali tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana parti dalam entri ini. Sebagai ahli seni yang perlu berpartisipasi secara aktif dan adil dalam masyarakat, pemerhatian terhadap kempen politik sepanjang PRU 12 ini hanyalah suatu 'analisis singkat' saya.Justeru, ini hanyalah satu pandangan peribadi terbilang, saya tidak berniat untuk mencemarkan budaya gemilang kita dengan menyatakan pendapat di blog dalam negara yang sepatutnya cemerlang dengan demokrasi ini. Saya berharap 'persoalan' yang ditimbulkan akan dapat dibaiki.6.3.08
link ke sumber asal artikel ini.