Bismillahhirrahmanirrahim.
Apakah ertinya ‘jalan yang lurus’ yang kita sebut-sebut dan ulang-ulang dalam al-Fatihah dan membawa dalam solat kita seharian lima kali sehari (jika banyak solat sunatnya maka lebihlah)?
Apakah ‘Jalan Yang Lurus’ Saya Berbeza Dengan Anda?
‘Jalan yang lurus’ yang saya minta berbezakah? Ada bezakah jalan lurus seorang peladang kelapa sawit yang gigih, seorang karyawan filem yang masih mencari, seorang penyanyi yang lahir dari suatu program realiti, seorang novelis mengaku warak, seorang model seksi yang diundang menajdi tetamu Allah naik umrah dan solat lalu membaca al-Fatihah dalam sunat tawafnya di Masjidil Haram? Atau al-fatihah di dalam bacaan solat seorang lelaki yang tak berapa nak mengaku dia lelaki, atau bagi seorang perempuan yang tak berapa nak boleh terima hakikat dia ini perempuan.
Bezakah jalan yang lurus kita minta? Benarkah ada beza berdasarkan konteks pilihan masing-masing?
Jawapannya: TIDAK ADA. Ulama ulung Nusantara Dr Hamka dalam Tafsir al-Azhar, Juzuk 1, halaman 79-80 menghuraikan ‘jalan yang lurus’ itu ialah:
1) Al-Irsyad:
Agar dianugerahi kecerdikan dan kecerdasan.
Sehingga dapat membezakan yang hak dan batil, yang benar dan salah.
2) At-Taufiq:
Biar selari kehendak kita dengan kehendak Tuhan.
Biar rencana kita dalam hidup sesuai dengan rencana Allah.
3) Al-Ilham:
Supaya kita ditunjuki petunjuk yang betul dalam menghadapi kesulitan.
4) Ad-Dilalah:
Supaya kita diberi dalil sepanjang jalan kita yang singkat ini
seperti kita mendapat petunjuk atau batu tanda sepanjang lebuhraya.
Menurut hadis Rasulullah S.A.W (daripada Jabir bin Abdullah) yang menjelaskan apakah siratul mustaqim untuk orang yang sudah mengucap syahadah itu? Tak kira siapa pun dia, apa pun profesyennya? Asalkan dia seorang muslim menurut baginda Rasulullah S.A.W itu, siratul mustaqim ialah ‘agama Islam’. (Insya-allah lain kali kita kuliahkan pula apa itu Islam.)
Hamka dalam menafsirkan lagi ‘jalan yang lurus’ ini menghuraikan ‘agama Islam’ ialah apabila menyedari ruang yang kita ini hamba dan yang Allah itu Tuhan kita.
Dan jangan kerat ayat 6 dari surah al-Fatihah itu sesuka hati kerana ia berkait dengan ayat seterusnya, iaitu ayat ‘jalan orang-orang yang telah Engkau kurniai nikmat ke atas mereka’.
Dalam membicarakan ayat ini, Hamka menyebut di halaman 83:
‘Inilah yang kita mohonkan dengan isti’anah kepada Tuhan, dengan berpedoman kepada al-Quran. Kita mohonkan, tunjuki kiranya kami mana yang benar, kerana yang benar hanya satu, tidak berbilang. Metod atas rencana yang benar di dalam menegakkan akhlak, budi bahasa, pergaulan hidup, filsafat, iktisad, ijtima dan siyasah dan sebagainya. Sebab jalan di atas dunia ini terlalu banyak simpang-siurnya, jangan sampai kita menjadi ‘datuk segala iya’ atau sebagai pucuk aru yang mudah dicondongkan angin ke mana dia berkisar. Minta ditunjuki jalan tengah yang lurus yang tidak menghabiskan tenaga dengan percuma: Arang habis besi binasa.’
Ayat ‘tunjuki jalan yang lurus’ itu juga amat berkait rapat dengan ayat ‘bukan jalan mereka yang dimurkai atasnya.’
Hamka menjelaskan lebih lanjut di halaman yang sama:
‘Siapakah yang dimurkai Tuhan? Ialah orang yang telah diberi kepadanya petunjuk, telah ditulis kepadanya Rasul-rasul, telah diturunkan kepadanya kitab-kitab wahyu, namun dia masih saja memperturutkan hawa nafsunya. Telah ditegur berkali-kali, namun teguran itu, tidak juga diperdulikannya. Dia merasa lebih pintar daripada Allah, Rasul-rasul dicemuhkannya, petunjuk Tuhan diletakkannya ke samping, perdayaan syaitan diperturutkannya.’
Seterusnya ia juga berkait dengan ayat ‘dan bukan jalan mereka yang sesat.’
Hamka secara hati-hati merumuskan ayat ini berkenaan: ‘Adapun orang yang sesat ialah orang yang berani-berani saja membuat jalan sendiri di luar yang digariskan Tuhan. Tidak mengenal kebenaran, atau tidak dikenalnya menurut maksudnya yang sebenarnya.’
Hamka di halaman 87 seterusnya memetik ulasan Rashid Ridha dalam al-Manar mengenai ayat ini, ‘jalan yang sesat’ berkait dengan mereka ‘yang sesat dalam beramal, atau memutar-mutarkan hukum dari maksudnya yang sebenar.’
Kita kembali kepada soalan saya di atas, bezakah jalan yang lurus kita minta? Benarkah ada beza berdasarkan konteks pilihan atau pandangan hidup masing-masing?
Jawapannya: TIDAK ADA. Kerana kita orang Islam kita tidak ada pilihan lain.Kita kena pandang diri dan hidup dengan cara pandangan Islam semata-mata.
Masakan? Allah yang adil tidak memberi kita pilihan? Tidak ada. Kerana Maha Adil adalah salah satu sahaja dari sifat Allah yang banyak. Dan kerana Allah adillah maka Allah tidak memberi kita pilihan, kerana Dia Maha Tahu.
Untuk orang yang benar-benar mendalami ilmu hakikat, syariat tidak terpisah darinya. Dan untuk mereka yang mengkagumi tokoh-tokoh tasawuf, tidak lengkap jika tidak memahami salah satu pokok ajaran dalam mistisme Islam tentang ayat 172 dari surah al A’raf yang menunjukkan bahawa manusia sejak di alam roh telah pun berikrar mengakui keesaan dan kebesaran Allah, manusia meskipun ateis akhirnya akan terpaksa kembali kepada fitrah ini iaitu kewujudan Tuhan (Allah).
Ayat al Quran itu bermaksud:
Dan ingatlah wahai Muhammad ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam turun temurun – daripada tulang belakang mereka, dan Ia menjadikan mereka itu saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu (yang mengasuh serta menjaga kamu)? – Mereka semua menjawab: Benar (Tuan hamba adalah Tuhan kami) kami menjadi saksi (yang demikian ini) supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
Apakah kesan dari ayat ini? Kita manusia berjanji mahu menjadi co-partner Allah di muka bumi, menjadi wakilnya, menjadi Khalifah Allah dan pandangan hidup kita tidak harus terpecah melainkan kembali kepada-Nya.
Kita sudah berjanji di alam roh maka kita tidak dapat (tidak sepatutnya) memungkiri-Nya. Kita tak boleh lari dari Allah, Dia cipta kita dan kita akan kembali kepada-Nya. Inilah pokok pegangan kesufian baik Ibnu Arabi, Imam Ghazali, Maulana Rumi dan Hamzah Fansuri. Ini juga pokok pegangan orang syariat bila dia nak buat hukum mencemuh atau memuja sesiapa atau subjek apa pun.
Kita tidak terlepas dari janji ini, biarlah kita seorang pengarang, seorang pengarah filem, seorang pelakon, seorang Perdana Menteri, seorang pelawak, seorang model, seorang penyanyi hatta seorang blogger sekalipun. Syariat dan hakikat jalan selari. Selalu orang menyangka dua aspek ini bertentangan.
Kita buat apa sahaja akan dinilai. Kita dihantar ke muka bumi ini kerana Allah Maha Besar dan Maha Adil. Allah telah mempertaruhkan amanah besar sebagai khalifah Allah ini kepada gunung-ganang, tak sanggup batu-bata besar itu, kepada malaikat pun mereka tak sanggup, tetapi manusia telah berikrar menyanggupi memikul tanggungjawab ini.
Allah berfirman dalam al-Ahzab ayat 72:
Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan memikul itu, dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia.
Marilah kita berzikir buat seketika: La Ila ha illa anta. Ya Hayyu Ya Qayyum, subhanaka inni kuntu mina dzalimin.
Inilah pokok falsafah Inna Lillah wa Inna Lilahi Rajiun: Segala daripada Allah dan kepada Allah Kita Kembali.
Allah Maha Adil, betul, tetapi Allah juga Maha Esa dan Berkuasa dan Allah berfirman untuk menegaskannya: Dialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepadaKu saja kamu takut. (An-Nahl ayat 51)
Benar Allah Maha Adil dan dia menerima taubat golongan sekularis Insya-allah andai diberi hidayah-Nya dengan nikmat-Nya tetapi kita mesti selalu beringat kerana Allah Maha Kabir seperti difirmankan dalam ayat 45 surah Yunus:
Dan ingatlah akan hari yang di waktu itu Allah mengumpulkan mereka, mereka merasa di hari itu seakan-akan mereka tidak pernah berdiam di dunia kecuali hanya sesaat sahaja.
Apakah Nilai Sebenar ‘Jalan Yang Lurus’?
Adakah ‘jalan yang lurus’ saya berbeza dengan ‘jalan yang lurus’ seorang perantara t.v? Atau berbeza dengan ‘jalan yang lurus’ seorang mujahid di celah gunung Tora Bora di Afghanistan? Apakah nilai sebenar ‘jalan yang lurus’?
Jawapannya: Marilah kita fahami yang diri kita ini baik kita karyawan filem, baik kita lelaki atau perempuan (atau tak berapa nak lelaki dan tak berapa nak perempuan) asalkan kita muslim, asalkan kita manusia ciptaannya kita tertakluk kepada ayat 156 surah al-Baqarah:
Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.
Ahli sufi Hassan Abdul Hakeem atau nama sebenarnya Charles Le Gai Eaton, dalam bukunya Islam and the Destiny of Man menyebut, nilai jalan yang lurus itu ialah nilai sebagai muslim sejati dan antara definisi muslim sejati itu tercemin pada surah al-Furqan ayat 73:
‘Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.’
Benar Allah Maha Adil saudara-saudara, kerana itu ada syurga untuk orang yang berbuat amal baik, dan ada neraka untuk orang yang tidak mahu mendengar-Nya.
Allah Maha Adil, Dia juga tak menghukum manusia yang mungkar sekaligus dan saat ini jua, Allah Maha Adil jadi Dia memberi tangguh. Supaya yang mungkar itu insaf, dan memilih jalan yang lurus. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 61:
‘Jikalau Allah menghukum manusia kerana kezalimannya, nescaya tidak akan ditinggalkan-Nya di muka bumi sesuatu pun dari makhluk yang melata. Tetapi Allah menangguhkan mereka sampai pada waktu yang ditentukan.
Saudara, saya cuma alat untuk memberitahu. Samada saudara memilih jalan yang lurus atau tidak, mahu menghayati atau tidak, mahu memahami dan mencari atau tidak, tidaklah daya saya. Kerja Tuhanlah jua. Saya memohon supaya dijauhkan dari keangkuhan ilmu dan memohon diberi ‘jalan yan lurus’ dan minta dijauhi dari jalan yang sesat, khususnya jalan orang sekular.
Begitulah saudara-saudara, cuma saya mahu saudara berhati-hati dengan sekularisme, kerana pada syahadat kita juga membawa satu lagi beban ‘la syarika lahu’ iaitu tidak ada sekutu bagi-Nya. Adalah mudah untuk kita tergelincir dalam jurang sekularisme. Seperti yang kelihatan dalam masyarakat kita hari ini. Ungkapan solat saya urusan saya dengan Tuhan, kerja saya dalam bidang seni kerja saya cari makan adalah satu ungkapan lampau sekular yang haram. Kerana itulah Maulana Rumi, Ibnu Arabi dan ramai lagi menyarankan ‘Aku adalah Tuhan’ ('Ana al-Haqq') iaitu ‘kita tak tercerai dari Tuhan dalam apa juga tindak-tanduk.’ Bukanlah ‘aku adalah Tuhan’ bermaksud dia sebagai hamba sudah jadi berkuasa dan sampai ke peringkat Tuhan lalu boleh buat apa sahaja.
Moga Allah beri hidayah kepada saudara, Insya-allah. Dan buat orang yang belum Islam, moga Allah buka hati saudara dan beri cahaya hidayah yang maha terang.
Wallahu 'Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan