November 08, 2008

Perahu


karya
S.M Zakir


HIDUPKU adalah kesengsaraan!

Ombak memutih berbuih di birai kakinya. Dia hanya bersuara kepada laut yang luas terdampar saujana tanpa hujung. Langit juga memutih dan terdampar saujana luas tanpa hujung.


Aku adalah kesengsaraan yang terlempar dari kolong langit!

Angin berdesir dan menempuh tubuhnya. Dia masih membiarkan birai kakinya dijilat ombak. Sambil menghadap laut dan angin menempuh-nempuh tubuhnya mengibar-ngibar pakaiannya.

Sekumpulan kanak-kanak yang bermain-main di tepi pantai tercegat sebentar. Berpandangan antara satu sama lain. Akhirnya perlahan-lahan mereka bergerak menghampiri lelaki yang tercegat sendirian seperti bertafakur menghadap laut itu.

Dia memerhati kumpulan kanak-kanak yang datang menghampirinya. Kemudian seakan mengepungnya dalam satu kelilingan.


"Kami mahu mendengar cerita."

"Cerita Nabi Nuh dan bahteranya."


"Cerita Nabi Yunus ditelan ikan Nun."


"Cerita Nabi Musa membelah laut dengan tongkatnya."



Dia berjalan ke banir ru diikuti kumpulan kanak-kanak yang bersorak-sorak girang. Dia mengambil tempat duduk dan kumpulan kanak-kanak itu berebut-rebut mengambil tempat mengelilinginya. Berhampiran banir ru di kawasan redup terpacak sebuah bangsal dan sebuah perahu yang masih belum siap ditukang.



Aku adalah manusia miskin dan daif yang dilontar dari sana, tangannya menuding laut.


Kanak-kanak itu melongo. Diam tidak berkutik. Menunggu ceritanya.


Kedaifan membuatkan aku tidak mempunyai apa-apa di dunia ini. Lebih dungu lagi aku tidak mempunyai apa-apa kepandaian dan kemahiran yang mungkin boleh memberikan aku kehormatan dunia harta, pangkat, darjat dan kuasa. Satu-satunya kemahiran dan kepandaian yang aku miliki adalah bertukang perahu.


Kanak-kanak itu menderaikan ketawa. Amat lucu bagi mereka kerja bertukang perahu seperti lucunya cerita Abu Nawas.


Sekarang aku ingin bercerita tentang cerita perahu. Aku si daif yang terlontar dari kemahakuasaan dan kemahaluasan laut dan tercampak di pinggir bumi yang maya dan fana ini hanya ingin bercerita tentang perahu.


Kanak-kanak itu melongo. Berpandangan dan menggeleng-geleng.


"Kami mahu mendengar cerita Nabi Nuh."

"Kami mahu mendengar cerita Nabi Yunus."


"Kami mahu mendengar cerita Nabi Musa."


"Kami mahu mendengar cerita Abu Nawas."


Tiba-tiba sahaja. Mata yang lain melotot.

"Engkau saja jadi Abu Nawas."



Tanpa mempedulikan bantahan kanak-kanak itu, dia bangkit menuju ke perahu yang belum usai ditukanginya itu. Kumpulan kanak-kanak itu bagai ditarik daya misteri terus saja bertolak-tolak mengikutinya.



Lihat laut di hadapan kamu.


Kanak-kanak itu berpaling menghadap laut dan berteriak-teriak.


"Ya laut yang menenggelamkan kaum Nabi Nuh."

"Ya laut yang ada ikan Nun yang besar."


"Ya laut yang terbelah dan bertangkup dengan pukulan tongkat Nabi Musa."


Dalam kepanasan cahaya matahari tengahari begini laut melepaskan zatnya dari air laut yang masin menjadi wap. Wap berkumpul membentuk awan. Awan semakin berat. Wap sekali lagi berubah zatnya menjadi air bersih dan turun sebagai hujan. Air hujan lalu turun membasahi bumi. Menghidupkan tumbuhan dan makhluk. Air hujan berubah lagi zatnya menjadi air tulen yang mengalir menjadi sungai. Air tulen ini menjadi sumber penghidupan tumbuhan dan makhluk. Sungai mengalir memakmurkan bumi. Setelah itu sungai mengalir kembali ke laut kembali ke asalnya kembali bercampur menjadi zatnya yang asal.


Kumpulan kanak-kanak itu mendengar menanti jika dalam air nanti akan muncul gergasi besar atau yu ganas atau sotong raksasa.


Setiap yang bermula akan kembali kepada asalnya. Yang asal itulah yang melimpah mengubah zat dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain dan akhirnya kembali kepada bentuknya yang asal dan azali.


"Tidak ada ombak besar yang ganas menenggelami kaum Nabi Nuh?"

"Tidak ada ikan nun besar terdampar di pantai bersama perutnya yang berisi manusia?"


"Tidak ada tentera-tentera Firaun perkasa yang lemas bertempiaran ditelan laut?"


"Tidak ada baghal Abu.."

Terdiam di situ.

"Lagi-lagi engkau."


Mereka adalah pesuruh-pesuruh Tuhan yang diturunkan untuk membimbing manusia agar menginsafi kejadian dan kewujudannya. Nabi Nuh, Nabi Yunus, Nabi Musa, nabi-nabi dan rasul-rasul lain dan rasul yang paling agung Nabi Muhammad s.a.w, semuanya adalah pesuruh Tuhan. Tuhan? Tuhan itu adalah Maha Pencipta yang telah mencipta seluruh kejadian dan alam semesta melalui perlimpahan zat-Nya. Dan setiap kejadian itu berakhir dengan kembali kepada penciptanya iaitu Tuhan Allah azzawajalla.


"Tuhan lebih berkuasa dari laut yang menenggelamkan kaum Nabi Nuh?"

"Tuhan lebih berkuasa dari ikan Nun yang besar?"


"Tuhan lebih berkuasa dari Firaun?"



Tuhan lebih berkuasa dari segala-galanya.



Kanak-kanak itu terdiam. Diam dan diam sekali. Wajah mereka memainkan fikiran tentang sesuatu yang besar, hebat dan agung. Mereka lalu merasa gerun.


Tuhan menjadikan kita sebagaimana hukum yang terjadi kepada laut tadi.


"Tuhan ada di laut?"

"Tuhan ada di awan?"


"Tuhan ada di sungai?"



Laut itu luas. Ombaknya ganas. Sekali kamu berada di tengah laut, daratan akan hilang. Kamu tidak mempunyai apa-apa selain laut.


"Bagaimana kami hendak ke tengah laut?"


Dia memegang perahu. Menggosok-gosoknya. Berjalan dari hujung ke hujung. Kemudian berhenti di tengahnya.


Dengan perahu ini.


Berhampiran, kedengaran ombak dan angin berhempas saling mengejar untuk mengucupi pantai.


Di tengah ini aku letakkan papan dan kayu yang menjadi dasar kepada perahu ini. Ia dipanggil lunas perahu. Tanpa lunas perahu ini akan tenggelam karam di lautan segara.

Kanak-kanak itu memegang lunas perahu.


Di kiri kanan perahu ini aku letakkan papan yang menjadi dinding daripada rempuhan ombak dan juga dinding kepada lunas perahu tadi. Tanpa papan-papan ini gelombang akan merempuh masuk dan dengan mudah akan menenggelamkan perahu.

Kanak-kanak itu memegang papan perahu.


Di atas lunas dan papan ini yakni di dalam perahu adalah kita. Kita adalah isi yang akan mengemudi perahu belayar ke lautan segara. Isi yang mengemudi perahu harus tahu tujuannya. Tanpa isi yang baik dan tetap tujuannya, perahu akan hanyut sesat di lautan segara.

Kanak-kanak itu memegang diri mereka masing-masing.


Akhir sekali untuk belayar di lautan segara perahu memerlukan layar yang kuat dan tahan. Kita tidak betah untuk berdayung di lautan luas. Kekuatan manusia terlalu kerdil untuk mengatasi ombak dan angin. Apatah lagi laut yang maha perkasa. Layar ini bagai rahsia kerana ia berkibar bukan di atas kekuasan isi atau kita atau manusia tetapi di atas kekuasaan yang di atas segala kekuasaan.

Kanak-kanak itu memegang layar perahu.


Ombak dan angin berhempas saling mendahului mengucupi pantai.


Tahukah kamu bahawa perahu pertama di alam ini dibina oleh Nabi Nuh dan empat orang tukang kayu dengan tunjuk ajar daripada Jibril. Jibril telah diturunkan oleh Allah azzawajalla untuk membantu Nabi Nuh membina perahu. Jibril yang menyampaikan ilmu tentang lunas, tentang papan tentang isi dan tentang layar.


Ketika hari semakin merangkak. Kelihatan kanak-kanak di sebuah perkampungan di daerah Fansur ini berlari-lari pulang ke rumah sambil menjerit-jerit, "Perahu! Perahu! Perahu! Perahu dibina oleh Jibril!"





Hidupku adalah kesengsaraan!

Dia bersuara lagi kepada laut dan ombak, sambil menyorong perahunya ke laut. Malam mengerdip kemerlap gemintang. Bermain-main di tubir langit. Kini dia berada di laut, belayar dengan perahunya. Laut yang luas dan tidak bertepi. Menurut seorang ahli sufi, laut yang luas tidak bertepi ini merupakan kenyataan dalam peringkat pertama yang berupa ilmu, kewujudan, kesaksian, dan Nur. Kerana (ada) ilmu maka Allah itu Maha Mengetahui. Kerana wujud maka Allah itu Maha Esa dan Maha Pencipta. Kerana kesaksian Allah itu Maha Melihat. Kerana Nur Allah itu Maha Kuasa yang menerangi seluruh semesta dan kejadian. Perahunya perlahan-lahan belayar menelusuri laut dalam kebeningan malam yang dikabusi kabut.


Kesengsaraan adalah kesaksian cinta!

Ombak berdenyut dengan pada setiap denyutannya mengilas cahaya perak yang berlari dalam riak yang beralun-alun. Menurut ahli sufi itu lagi, apabila laut memunculkan diri (sebagai yang dikenal, ada, kesaksian dan cahaya), maka ia dipanggil ombak. Ia merupakan kenyataan dalam peringkat kedua, iaitu kenyataan menjadi "yang dikenal" dan "yang diketahui". Pengetahuan dan ilmu Tuhan menyatakan diri dan bentuk "yang dikenal"
dan "yang diketahui".


Perahunya teroleng dialun ombak. Semakin lama semakin jauh meninggalkan daratan dan semakin jauh ke tengah. Ombak laut bagai mengulit dan menguja-uja kalbunya hanyut dalam satu perasaan yang begitu mulus dan bening.


Cinta adalah kedalaman laut yang penuh rahsia!

Ayunan ombak yang mengoleng-oleng semakin menenggelamkan dirinya dalam rasa yang tidak bertepi. Ombak kini wujud sebagai suatu daya yang menarik dan menolak, menghidup dan memati, menggerak dan membeku. Ahli sufi itu menyatakan bahawa roh yang menggerak dan menjadi daya tenaga itu adalah kenyataan dalam peringkat ketiga, iaitu kenyataan yang berupa roh wujud dan maujud. Perahunya berdesar lalu membelah laut. Layarnya berkembang penuh bagai bulan perbani di langit yang terang. Malam temaram berpuput yahum yang menerpa menikam dingin yang dalam. Sumsumnya pedih ditikam dingin, namun kalbunya terbakar menyalakan cinta.


*"Sirr Sirrihi!" Jadi maka jadilah!

Bukan dia yang menyatakan itu. Buih-buih memutih di muka ombak, berlari-lari mengejar kabut; sedang di bawah ombak ikan dan segala hidupan laut berlegar dan bergerak bersama nyawa dan roh yang sempurna yang ditiupkan. Ahli sufi itu menyatakan bahawa penciptaan jasmani alam semesta, makhluk-makhluk, termasuk manusia ini merupakan kenyataan dalam peringkat keempat.


Perahu telah begitu jauh ke tengah laut. Laut tanpa daratan lagi. Daratan telah hilang sehingga dia pun terlupa bagaimanakah rupa daratan itu. Ampuni aku ya Tuhan. Dia menyeru dan melutut. Dia semakin takut dan gentar. Namun dalam masa yang sama, kalbunya semakin terbakar oleh api dingin yang sejuk bagai ais. Perlahan-lahan dia jatuh. Terkulai dan akhirnya hanyut menjadi kecil dan kecil. Larut menjadi tiada dan kosong.



Laut! Aku telah bebas dari daratan!

Aku perbendaharaan tersembunyi, Aku cinta untuk dikenal, maka Aku mencipta dan dengan demikian Aku dikenal. Tanggal dirinya - terlepas daripada keterpautan dunia. Tunggal dirinya - tidak bercampur atau berpisah.

Dia menjadi setitis air yang larut di dalam kemasinan laut yang tidak bertepi.



Pagi di pantai. Sekumpulan kanak-kanak berlari berkejar-kejaran di gigi pantai sambil menyanyi-nyanyi melagukan syair:

**Hamzah gharib unggas quddusi
Akan rumahnya Bait al-Ma'muri
Kursinya sekalian kapuri
Min al-asyjari di negeri Fansuri

________________________________________________________________

*Rahsia yang paling tersembunyi/rahsia Tuhan yang Maha Dalam.
** Bahagian daripada syair Syarab al-Asyiqin karya Hamzah Fansuri.


~~~



Mingguan Malaysia, 26 Disember 1999

Pemenang Hadiah Utama, Kategori Cerpen
Hadiah Sastera Kump. Utusan-Public Bank 1999