..Alif meronta-ronta dalam jiwa. Dia memberitahu saya, wajah anak-anaknya kadang-kala terlalu kuat mengelus nurani. Akan tetapi dia juga memikirkan, kalau diambil wang itu, belum tentu anak-anaknya akan sihat diubati dan dirawati. Apa berkatnya wang begitu. Datang dan pergi tanpa restu langit. Bukan itu jalan penyudahnya, tengkar diri. Wang tersebut, yang terkandung dalam beg kerja adalah jawapan, desak bahagian otak yang lain.
Alif bertarung. Pertarungan yang terlalu payah. Dia mesti menang, untuk menerima cahaya atau menerima wang lantas menerima dosa dan menerima bahana. Merobohkan maruah baik dan mendobrakkan peribadi mulia yang sekian lama dia bina?
Wang… wang… wang…
Saya ikhlas Encik Alif, bibir Encik Ta menyebut-nyebut itu terbayang-bayang.
Dia buntu. Wang… wang… wang.
Kereta membelok perlahan mengarah ke Jalan Jim. Waktu rusuh petang jam lima setengah, semua kenderaan menyerbu jalanraya untuk pulang ke rumah. Dia sendiri porak peranda dalam sukma. Alif berada dalam tekanan memuncak. Terlalu puncak bagaikan akan meledak segala isi dan berhamburan. Kala itulah kata Alif, dia membulatkan hati, dengan rasa begitu pilu dan geram bercampur-baur. Waktu itu ada dua perkara mendorong dirinya menghentikan kereta di tebing, berlari ke arah taman yang tersadai permai tidak jauh dari pinggiran jalan. Dua tiga gadis Cina yang bersiar-siar di taman tercengang-cengang melihat tampangnya berlari-lari tergesa seolah-olah ada sesuatu yang dikejari.
Pengakuan Alif, pertama dia terkenangkan wajah isterinya. Tsa adalah cahaya selama ini di dalam diri. Cahaya hiasan. Kerana perempuan itu, kelembutannya begitu memukau dan dia berasa selamat didorong oleh seorang isteri yang baik. Dia tidak mahu mengotor wajah-wajah ahli keluarganya dengan debu dan kotoran bila dibangkitkan di hari akhirat kelak. Alif sudah tersedu.
Kedua, kata Alif lembut dan lunak dengan air mata tertahan, ialah waktu itu dia terdengarkan ayat-ayat Surah al-Syams mengalun lembut dari kaset bacaan ayat suci al-Quran yang terpasang pada pemain kaset dalam keretanya. Suara qari menyentuh hati. Dia menterjemah sendiri secara penuh hati-hati dan mencengkam jiwa ayat-ayat sembilan dan sepuluh itu.
Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah orang yang mengotorkannya.
Alif tiba-tiba bagai dibisikkan frasa zakkaaha, ayat al-Quran yang mendorong pertumbuhan dan peningkatan jiwa bercahaya sedang kalimat dassaha itu menunjukkan kekotoran hati yang haram dan menjelekkan. Ustaz Ba dirasakan memapah hala tujunya. Ucapan-ucapan dalam kuliah tafsir datang membelai cuping telinga. Wajah Tsa dan alunan ayat-ayat sembilan dan sepuluh terngiang mendengung dalam telinga memasuki terowong hatinya, padu diserap rongga-rongga.
Kerana dua sebab itulah dia menghentikan kereta dan menuju ke arah kawasan taman, dia terus mengambil segenggam tanah dan memasukkan ke dalam mulutnya dan mengunyah-mengunyah dan mengunyah lalu meluah. Tanah kotor hitam itu penuh dalam mulut, memberi selekeh pada bibir dan terpalit pada misai serta baunya yang busuk memualkan. Ia sama sekali tidak enak, ia menyucuk-nyucuk tekak dan perut untuk muntah. Di situ dia terduduk menangis dan menangis meminta Allah memberikan dirinya perkasa dalam pertarungan yang besar tetapi tidak ternampakkan oleh manusia lain itu.
Dia lebih rela makan tanah, dan Alif buat seketika berasa terlalu insaf. Dia juga setelah itu berasa menang. Gadis-gadis Cina tadi hanya melihat dari jauh separuh gamam separuh kebimbangan.
Begitulah dengan keadaan kotor dan comot, dia melangkah masuk ke dalam wad di Hospital Tawakal mendapatkan isterinya yang kehairanan dan ibu mertuanya yang tercegat keanehan.
..
~~~
Cerpen ini memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam 2001 anjuran
Yayasan Pelajaran Islam-DBP.
*Selanjutnya, termuat di dalam Kekasih Sam Po Bo.
2 ulasan:
Ya Shafiq,
mari menabung~!
=]
Ya 'Izzaty,
Iya.. Sama amalkan kata-kata hikmat ulama terkenal almarhum Tuk Kenali,
"Tiada hari bagi kita jika kita tak bergerak hari ini."
=]
Catat Ulasan