September 06, 2008

Bunga Ramadhan


Bunga Ramadhan





Tercekup reriak air
dan terangkat seghaibnya
sebagai kapas yang cair
dan dibiarkannya sasa,
sarat, berat dan kelabu
sebelum direnjiskannya
semula ke bumi syahdu.

Di antara sisik air
dan kabus kapas yang putih
berdenyut udara cair,
rintik bintik-bintik bersih
terangkat lalu terapung -
kuyup basah tak terbendung.
Berkejarlah wap yang sejuk
ke ruang paling panas
meragami alam khusyuk,
meranumi insan ikhlas.

Selalu benar kuasa
menggamamkan kita.
Ada rahsia yang santun
membimbing sesenyap tekun,
menyegari alam maya,
menghemahi manusia
sejernih kudus luhurnya.

Bumi - anugerah indah -
membahagiakan manusia.
Malangnya, selalu kita
galak menggelorakannya
menjadi lebih neraka
seolah itulah syurga.
Kita memang belum pandai
berterima kasih, mungkin,
hidup resah tak terlerai
tanpa sedar tak terpimpin.

Dan kini wajarlah kita
meniup nafiri baru,
selembut dan sesayunya -
irama lebih ke kalbu.
Dengan dada penuh rindu
kita tafsir syair syahdu
imbas tamsil tabir ungu.

Awal airnya tercekup
dan awan selembut kapas
luruh sebelum tergugup
berderai seluas bebas.
Sewajarnya kita tahu
meniup nafiri baru.
Dan kita sambut tibanya
Ramadhan manis mulia;
di taman subur isyarat
kita petik bunga berkat.

A. Samad Said
27 September-8 Oktober 2004

2 ulasan:

ijad berkata...

salam.. saya telah link blog ni..

Ibnu Abas berkata...

w'salam. syukran..