September 04, 2008

Manfaatnya Ilmu Hanya Bila Diamalkan






Wahai anakku yang tercinta,

Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahwasanya semata-mata ilmu itu belum dapat menjamin keselamatanmu di akhirat kelak.


Umpamanya: Kalau seseorang ada memiliki sepuluh bilah pedang yang sangat tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain lagi dan dia pula adalah seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya. Maka apa pendapatmu, apakah semata-mata memiliki segala senjata tadi tanpa menggunakannya sudah cukup untuk menangkis serangan singa itu? Sudah tentu tidak. Segala senjata itu baru bermanfaat apabila ianya digunakan oleh tuan empunya senjata itu. Maka begitulah keadaan seseorang yang telah mengetahui ratusan ribu masalah ilmu tetapi ia tidak beramal dengannya maka segala ilmunya tidak akan bermanfaat kecuali setelah diamalkan. Sama pula keadaannya dengan seorang yang diserang sakit demam panas dan sakit kuning yang biasanya ia dinasihatkan meminum ubat sekanjabin dan kaskab[1] maka tidak akan hasil sembuhnya kecuali dengan meminum ubat tersebut.


Dalam hal ini disebutkan suatu syair dalam bahasa Parsi:

(Ertinya:) Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak, maka engkau tidak akan mabuk sehingga engkau meminumnya.


Jadi jika engkau belajar seratus tahun lamanya dan engkau menghimpunkan seribu buah kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmat Allah taala kecuali dengan mengamalkan ilmu ini.


Allah taala berfirman:

Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat sesuatu, kecuali apa yang diusahakannya.
[Surah An Najm : 39]


Dan firmannya lagi:

Maka sesiapa yang mengharap akan bertemu Tuhannya, maka hendaklah ia beramal akan amalan yang salih.
[Surah Al Kahfi : 110]


Dan firmannya lagi:

(Balasan yang diberikan kepada mereka itu) adalah sebagai balasan bagi amal yang telah mereka lakukan.

[Surah At Taubah : 82]


Dan firmannya lagi:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal salih adalah syurga "Jannatul Firdaus" itu sebagai tempat tinggal mereka. Mereka kekal di dalamnya dan mereka sudah tidak mahu lagi mencari tempat yang lain daripadanya sebagai gantinya.
[Surah Al Kahfi : 107-108]


Dan firmannya lagi:

(Dimasukkan ke dalam neraka) kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal dengan amal yang salih.
[Surah Al Furqan : 70]


Apabila engkau tidak beramal dengan ilmu maka apa jawapanmu terhadap hadis di bawah ini:

Islam itu diasaskan atas lima perkara: Penyaksian bahawa tidak ada Tuhan kecuali hanya Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu pergi ke sana.


Maka iman itu ialah perkataan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Dan dalil yang menuntut kita supaya beramal itu sangat banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung banyaknya. Walaupun seorang hamba itu akan masuk syurga hanya dengan rahmat dan kemurahan Allah taala, namun rahmat dan kemurahan ini didapatkan setelah seseorang hamba itu mempersiapkan diri dengan ketaatan dan ibadat, kerana rahmat Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik.


Seandainya ada orang berkata:
Masuk syurga itu hanya dengan semata-mata beriman.[2]


Maka kami menjawab;
Memang begitu, tetapi bilakah seseorang itu dapat sampai ke sana dengan selamat (masuk syurga) dan berapa banyak halangan dan dugaan yang besar-besar yang mesti dilaluinya sebelum sampai ke sana.

Maka dugaan pertama yang mesti dilaluinya ialah dugaan iman itu sendiri, apakah ia pasti selamat daripada tercabut iman sehingga ke akhir hayatnya. Dan apabila ia telah mati dalam keadaan beriman, maka apakah telah pasti pula bahawa ia tidak akan muflis atau rugi.


Dan berkata Imam Hasan al Basri rahimahullahu taala:

Allah taala berfirman kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat nanti,

"Masuklah kamu ke dalam syurga ke dalam rahmatKu, dan tentukan kedudukan kamu masing-masing mengikut amalan kamu."

~~~

[1] Sejenis ubat-ubatan yang merupakan campuran daripada cuka dan madu atau apa jua yang manis dicampurkan dengan yang masam.
[2] Inilah i'tiqad Ahli Sunnah Wal Jama'ah.



NASIHAT KETIGA
Ayyuhal Walad
Wahai Anakku Yang Tercinta
Imam al-Ghazali

2 ulasan:

mohad berkata...

salam... apa khabar,,,

firusfansuri berkata...

wa'alaikumussalam wr wb.
syukran kerana berziarah, ya.
salam ramadhan karim~

:)