711 Masihi - Jeneral Islam Tariq Ibnu Ziad memimpin tentera gabungan orang-orang Berber dan Arab keluar dari Morocco untuk menguasai Sepanyol. Mereka merentasi Selat Gibraltar dari Tangier ke Algeciras. Dalam tempoh dua tahun dengan satu pertempuran di Guadalete berhampiran Cadíz, Vandalusia telah berjaya diduduki sedang orang-orang Visigoths berundur ke kawasan pergunungan berhampiran Jerez. Pendudukan orang Moors (Arab, Berber, dan Hispano-Roman) di Semenanjung Ibez sehingga ke Pyrenees, sempadan Sepanyol-Perancis telah disambut baik oleh rakyat dan nama Vandalusia ditukar kepada Al-Andaluz sehingga kini.
Kami keluar awal dari El Conquistador. Kata Azahari tidak mahu terlepas merakam panorama pagi Andalusia, selanjutnya ke tourist office di Torrijos. Membeli tourist guide-agakku. Aku tidak berani membantah. Semalam aku dileterinya kerana menempah di hotel El Conquistador. Hotel Marisa lebih murah katanya, sekadar 57 Euro. Kalau bernasib baik boleh mendapat bilik menghadap ke Statue of the Virgin of Rosales atau Patio de los Naranjos. Hotel Mezquita pula ada bilik yang menghadap terus ke Masjid Cordoba. Lebih jimat dan servis memuaskan.
Rujuk tourist guide dulu. Kemahiran asas melancong: bijak merancang!
Aku sekadar mengangguk. Penat perjalanan menutup langsung nafsuku untuk membela diri. Ah! Peduli apa? Semua ini ditanggung oleh syarikat. Kemahiran asas survival: bijak mengambil peluang! Aku tersenyum nakal sendirian. Kami asalnya dihantar ke sini untuk persediaan kolum baru di majalah kami, ‘Rekah-rekah Kota Andalusia’. Azahari yang mengelolakan ruangan itu. Aku sekadar menemani sambil merebut peluang menjengah dunia luar. Mengambil kesempatan- Survival. Kami telahpun ke Seville sebelum tiba di Cordoba semalam dengan keretapi.
Kami memilih untuk berjalan kaki - pilihan bijak bagi pelancong jika tidak mahu terlepas mengamati keunikan lorong-lorong kota itu. Keadaan tidak sibuk. Landskap bangunannya tampak keputihan- sememangnya identiti kota klasik Andalusia kesan akulturasi budaya Islam, Yahudi, dan Kristian sekaligus membangkitkan suasana romantis kota ini. Sudah tentu banyak ilham yang akan kuperolehi untuk sajak baruku sekiranya dapat lama di sini. Lewat lorong Cardinal Herrera, kami nampak bangunan Mezquita (Masjid Cordoba) yang tersergam gah di tebing Guadalquivir, sepadan peranannya sebagai mercu tanda ‘Permata kurun ke-10’ ini. Masjid ini seingat hafalanku dibina oleh Abd Rahman I pada 785 M dan diperbesar beberapa kali oleh para khalifah sesudahnya. Dinding masjidnya mencerminkan senibina Islam klasik serta Torre del al Minar yang setinggi 305 kaki itu mengingatkan aku pada puisi cetusan Muhammad Iqbal, La mosquée de Cordoue. Aku terpukau.
Kau sajalah ke dalam, aku mahu ambil angin di luar. Aku tersenyum. Alasan! Rungut Azahari. Sementara dia masuk ke dalam tourist office, aku merayau di pinggir Guadalquivir yang tenang. Ada jambatan Puente Romano yang dibina sejak era Augustus merentang ke seberang. Di situ letaknya the Statue of St. Raphael.
Karya Bernabe Gomez del Rio - lewat 1651, kata Azahari mengejutkan aku dari belakang. Kagum aku! Kau hafal sejarah Cordoba? Azahari geleng, lalu mengangkat tourist guide yang baru dibelinya- mata kanannya dikenyit, perli. Aku cuma tersengih. Angin galak bertiup dari selatan. Azahari tutup matanya, menghirup dalam-dalam. Aku tahu dia kepenatan. Pagi tadi dia tidur dua jam lewat daripadaku untuk menyiapkan jurnalnya.
Bukankah Andalusia dikuasai Islam sekelip mata?
Aku tidak pasti samada itu adalah pertanyaan atau satu penegasan. Dia memasukkan tourist guide ‘kesayangannya’ ke dalam beg Deuter biru di belakangku.
Ya, aku teringat seorang sejarawan, Dozy, dalam karangannya Histoire des Musulmans d'Espagne yang ringkasnya begini: Penguasaan Islam ke atas Sepanyol adalah suatu ‘maslahat’ yang mencetuskan revolusi sosial serta pembebasan rakyat dari rantai kepincangan sistem politik kristian ketika itu. Apatah lagi wujudnya perbalahan antara Trinitarian Christians dan Arian Christians. Jadi?
Azahari mengerut keningnya yang bertangkup di tengah-tengah itu seolah-oleh membangkang reaksiku.
Jadi gerakan tentera Muslim disokong sendiri oleh rakyat yang tertindas termasuk The Bishop of Seville dan Toledo sekaligus mengurangkan serang balas ketenteraan kerajaan Kristian. Maka mudahlah Islam bertapak. Azahari mengendurkan kerutannya dengan dengusan faham. Tapi dari kontur wajahnya masih tidak puas. Azahari sememangnya pemikir yang tidak pernah puas jika berdebat.
Kami mula bergerak ke the Puerto del Perdón, gerbang yang dibina oleh golongan Mudejar di Masjid Cordoba. Kunjungan ke Cordoba tidak sempurna jika tidak menjenguk ke situ. Kelihatan ramai pengunjung mula berkelintar sekitar kawasan itu. Seorang lelaki berpakaian ala Arab dengan kefiyya merah terlilit di leher menghampiri kami lalu menawarkan dua bungkus falafel panas. Kami yang kelaparan tidak sanggup menolak. Aku tersenyum sambil berjenaka sendiri mendengar lelaki itu cuba bercakap Inggeris dengan telor latin berbaur arab - Don’t worry. Halal..! Halal..!
Aku lihat Azahari. Dia tersenyum kelat sedari tadi lantaran tidak mahu kalah dengan hujahku tadi. Sambil lazat mengunyah falafel, dia sempat memetik tulisan Blasco Ibanez dalam Dans l'ombrc de la cathédrale yang menganggap penaklukan Muslim di Andalusia sebagai ‘civilizational expedition’ lantaran memperlihatkan kebebasan beragama sebagai tonggak. Dia memberi contoh; dikri pada tahun 694 (sebelum kedatangan Islam) yang menghukum Yahudi yang menolak pembaptisan jika dibandingkan dengan toleransi Islam terhadap Gereja Kristian dan synagogue Yahudi. Aku tersenyum angguk, sengaja memberi ruang untuknya berasa puas.
Azahari mengeluarkan matawang euro berwarna jingga dari dompet yang terselit di seluar Levi’s lusuhnya lalu membayar di kaunter tiket. Aku gelojoh menghabiskan falafel lalu menurutinya masuk ke bangunan bersejarah itu. Sempat aku menendang tin minuman yang terbiar di kaki lima. Dalam hati aku marah-marah. Tunggulah sehingga aku habis makan dahulu!
Betul-betul di hadapan pintu masuk masjid, di perkarangan sebenarnya, terhampar Patio de los Naranjos -sebuah taman yang dipenuhi oleh pokok oren. Tepat di tengah-tengah terdapat air pancut. Dari situ, struktur seni bina Mezquita yang unik tampak indah pabila diamati. Aku terpaku, mulut separuh terbuka, dahi berkerut menyebabkan Azahari terkekeh-kekeh lucu.
Jangan kagum dulu sahabat. Kita belum masuk. Kalau kau hidup di zaman Islam Andalusia, tentu kau mati kekaguman melihat keindahan Cordoba yang dipenuhi tempat mandi, aqueduct, perpustakaan, masjid-masjid, dan istana yang menakjubkan. Ini kota pertama menggunakan lampu jalan, tahu? Aku sekadar menjengil geram. Azahari tidak peduli. Dia terus merakam panorama itu dengan kamera Minolta Dimage A1nya yang baru dibelinya.
Di tengah-tengah masjid, tersergam Cathahedral dengan Italian dome yang dibangunkan pada tahun 1523 oleh keluarga Hernan Ruiz. Bangunan itu dibina di dalam Masjid Cordoba setelah umat Islam berjaya diusir dari Andalusia oleh tentera Kristian. Satu pencemaran seni, tegas Azahari. Dia kecewa melihat kesucian senibina Islam itu ternoda. Aku segera terpanggil King Charles V yang turut menyesal sebaik melihat cathahedral itu siap didirikan: You are making what exists in many other places (cathahedral) and you have unmade what was unique in the world (Mezquita). Tapi fikirku lain. Aku tidak beranggapan keunikannya telah hilang.
Nah, lihatlah suatu hasil adunan senibina Islam dan Kristian dalam satu pagar! Bukankah itu keunikan yang tidak tertanding oleh Kuil Abu Simbel mahupun Angkor Wat. Azahari hanya menggeleng mendengar kata-kataku. Sama ada dia tiada hujah, atau sengaja tidak mahu mempedulikan aku.
Azahari tidak putus-putus mencatat. Memperihalkan keunikan Mezquita dengan tiang granit, jasper dan marmar yang berselang merah-putih. Kata Azahari, pembinaan tiang-tiang sebegitu dipercayai menyerupai aqueduct di Merida. Aku terdiam. Terus ke depan, letak mihrab dan maqsura yang dibina oleh Al Hakam II.
Kau tahu, sewaktu Eropah dicengkam Zaman Kegelapan, Andalusia memimpin ketamadunan dengan berumbikan lunas Islam sebagai panduan akhlak sekaligus menjana perkembangan ilmiah termasuk sains. Aku terpinga-pinga. Azahari menjadi semakin khusyuk. Ekor matanya mengintaiku, menanti reaksi barangkali. Dia nampaknya tidak mahu terlalu ralit berbual, sehingga terbengkalai research yang hendak dibereskannya itu.
Tapi apa pertalian ilmu sains dan akhlak? Bagaimana unsur keagamaan sebegitu membantu ketamadunan teknologi Andalusia?
Hei, sahabat. Kau dah lupa ke? Azahari menyimpangkan kameranya ke bahu sambil terkekeh-kekeh memandangku. Kemudiannya membuka buka nota sebesar tapak tangan tertempel gambar Che Guavara di kulitnya sambil mencatat. Aku mendengus lalu bergerak, berkira-kira mahu keluar kerana kami telah berada lama di situ. Azahari yang sedar aku tidak mahu menunggu mula menjawab - kau sudah lupa pada Ibn Rusyd? Bukankah dia menggariskan tiga elemen penting dalam membentuk ‘Harmony of science and religion' yang diamalkan majoriti ilmuwan Andalusia?
Sains, akal, dan wahyu…! Aku menyampuk pantas. Bangga. Baru aku teringat. Malahan Maimonides, si filosofer Yahudi era Andalusia itu juga turut menyokong prinsip ‘sebab’(reason) dan ‘wahyu’(revelation) yang dinyatakan Ibn Rusyd itu. Oooo.. Azahari menyambung mencatat, tapi ada senyum misteri darinya. Senyum sindir agaknya. Ah! Aku peduli apa, bukannya aku tidak tahu tentang itu. Cuma aku terlupa.
Segera aku mengeluarkan tourist guide yang baru dibeli Azahari. Semalam dia memberitahuku mahu ke Alcazar de los Reyes- kira-kira dua blok dari Mezquita. Itu kota lama tempat tentera kristian berkubu untuk menawan semula Andalusia dari tangan Islam. Aku mencari laluan yang paling sesuai. Sekiranya melalui lorong Amador de los Reyes, lebih cepat. Tapi nanti terlepas peluang melihat keriuhan kota Cordoba dengan lebih dekat. Ya! Melalui lorong Cardenal Salazar, alang-alang boleh singgah ke Museo Taurino, muzium laga lembu (bullfight) di Judios.
Menyebut akan laga lembu, sepatutnya kami menonton perlawanan itu di kota Seville, di Plaza de toros de la Maestranja semalam. Tapi angkara Azahari yang tersangkut terlalu lama pada keunikan menara Giralda dan Alcazár menyebabkan kami terlepas. Ah! Pisang takkan berbuah dua kali. Segera aku menarik lengan t-shirt schwarzenbach putihnya. Jom! Aku tak mahu kita terlajak dari jadual seperti kelmarin. Hari ini aku mesti tengok aksi matador di Cordoba. Azahari menggeleng - bukankah kau menikmati tarian flamenco gipsi itu, tak cukup? Aku tersengih geleng.
Ketika kami keluar dari Mezquita matahari sudah hampir tegak di kepala. Sekarang musim panas. Cuaca di sini agak hangat berbanding negara-negara di utara Eropah. Kedudukan geografinya hampir dengan garisan khatulistiwa dan tidak jauh dari benua Afrika. Di sana-sini rakyat Cordoba berkeliaran. Pemandangan yang paling menarik di jalan-jalan kota sebegini adalah petak halaman di setiap rumah yang mereka gelar patio. Mereka menghiasi patio dengan aneka tumbuhan hiasan dan bunga-bungaan bahkan mereka berbangga sekiranya dapat menunjukkannya kepada khalayak tentang keindahannya yang menjadi warisan Andalusia turun-temurun.
Aku mengingatkan Azahari supaya memegang kameranya yang mahal itu dengan cermat. Kota romantis ini turut terkenal dengan jenayah jalanannya. Aku tidak mahu susah. Pelancong selalu menjadi mangsa.
Dalam perjalanan ke Museo Taurino kami bercerita panjang. Azahari mengingatkanku supaya tidak ralit di sana. Dua puluh minit, cukup. Sambil itu aku tidak sudah-sudah membahaskan isu adunan agama dalam falsafah. Wahyu dalam sains. Azahari meminjam nama-nama filosofer, Ibn Rusyd, Ibn Bajja, sehinggalah ke Ibn 'Arabi. Aku yang tidak mahu beralahpun menambah lagi- Ibn Massara, Ibn Gabirol, dan Ibn Hazm. Seperti biasa, perbincangan kami tidak ketemu jalan penyudah. Namun yang nyata, kami bertindih di atas satu titik selarian, kesemua tokoh-tokoh itu menyumbang ilmu yang tidak kurang pentingnya pada peradaban.
Andalusia adalah pusat perbahasan ilmuwan, kau tahu? Gelanggang berdebat.
Ya, jadi?
Oh. Kau tak nampakkah. Itu membuktikan betapa bidang keilmuan berkembang pesat. Mereka tidak taklid dan ikut-ikutan- ciplak! Mereka kaji dan mereka rumuskan sendiri. Banyak berdirinya universiti. Bercambah ilmu-ilmu baru sehinggakan sendat perpustakaan dengan buku, setanding Bait al Hikmah di Baghdad. Aku tersengih buat-buat melihat Azahari begitu bersemangat. Dalam fikiran, aku diam-diam membayangkan Abu Abbas al-Fernass, cubaan pertama manusia untuk terbang. Bukannya Wright Brothers!
Bagaimana dengan percanggahan? Bukannya semua ilmu itu betul. Sengaja kutimbulkan soalan itu untuk menjentik emosi Azahari. Dia memang cepat panas.
Azahari mendengus geram. Aku tersenyum nakal. Helahku menjadi.
Percanggahan ilmu bukannya suatu yang negatif, jika setiap pendukung tampil dengan hujah yang berasas. Perdebatan membantu ilmuwan mencari kesilapan. Para fuqaha’, ulama’ hadis, dan mujtahid juga berdebat. Bahkan antara Imam Syafie dan Imam Malik turut berbeza sedangkan Imam Malik adalah gurunya. Aku menepuk-nepuk bahu sahabatku, tapi ditepisnya. Aku tersenyum lagi. Diapun tersenyum juga.
Kami tiba di Museo Taurino lima belas minit kemudian. Sengaja kami berlengah, memberi ruang memerhati cacamarba ragam warga latin memperaga barang jualan. Azahari menunjukkan jam Casionya kepadaku sebelum masuk. Aku mengangguk faham. Kami tidak lama di situ, muzium itu gagal menambat hati kami benar-benar kecuali replika makam Manolete, lagenda toreador terkemuka berserta kepala lembu yang telah membunuhnya, Islero. Kami terus ke Alcazar de los Reyes Cristianos melalui Plaza Campo de los Maetires.
Sekarang? Kata Azahari ringkas, tiba-tiba, tapi penuh maksud bercangkaliwang berserta emosi dan kekecewaan.
Aku terperanjat mendengar Azahari merungut sendirian. Andalusia sudah tidak seperti dulu lagi, katanya. Entah mengapa tiba-tiba dia terpanggil satu kajian Dr. Abdellatif Charafi - Once Upon a Time in Andalucia. Menjelang saat-saat kejatuhannya, generasi Islam yang kemudian sudah kian tersasar. Rasa tamak, hasad, dan berpuak-puak warisan Jahiliyyah mula meratah segala pertimbangan kemanusiaan dan keadilan. Akhirnya, umat Islam sendiri yang membakar kitab-kitab Al-Ghazali, membuang kitab-kitab dalam perpustakaan al-Hakam II ke sungai, dan menghukum dengan tidak adil para ilmuwan.
Ibn Rusyd - Ibn Hazm - Ibn Tufayl - Ibn Arabi.
Nampak jelas kekecewaan Azahari pada tumbangnya Islam di Andalusia dan seluruh dunia. Sesudah Sultan Muhammad membuka Constantinople - setelah Salehuddin Ayyub membersihkan Al Quds, kita hari ini kenapa masih gagal bangkit? Azahari, di sinilah silap kita. Seperti yang dirumuskan oleh Dr. Abdellatif Charafi sendiri, kita hari ini memerlukan Islamic Renaissance yang tulen, menyatukan umat dengan kebenaran aqidah. Memulihkan akhlak dan jati kendiri dengan ketulusan Iman. Tapi umat Islam tiada kesatuan. Golongan ahli ibadat menjadi mundur dalam penguasaan ilmu. Golongan ilmuwan pula leka daripada akhirat. Aku dapat merasai percikan kecewa Azahari menyusupi teduh naluri kejiwaanku.
Sempat juga aku meminjam teori kebahagiaan Al Ghazali- ‘Kebahagiaan itu adalah kemuncak jalan tasawuf dan merupakan hasil daripada ma'rifatullah atau mengenal Allah dengan sebenarnya. Asas kebahagiaan ialah jalinan ilmu dan amal’.
Azahari mengangguk setuju. Wah, jarang sekali dia menyetujuiku tanpa menjualkan hujahnya! Dia merumuskan hujahku dengan memetik kitab Sayyid Quttub, Ma’alim fi al-Tariq - manusia kini di ambang kehancuran kerana satu gejala penyakit yang bukanlah penyakit yang sebenar - manusia kebankrapan nilai!
Kami menghayati kemegahan kota Islam klasik itu dengan jutaan persoalan dan pengharapan. Sambil melewati lorong-lorong kota Cordoba yang berliku-liku dan boleh menyesatkan (bagi yang tiada tourist guide) sempat kami tebarkan fikrah jauh ke dunia ketiga dengan wajah-wajah negara Islam terkial-kial mencari dahan untuk menyangga. Survival of the fittest? Sedang pohon aqidah yang mercup dari keesaan Al-Khaliq itu kita semua lepaskan seperti dedaunan yang gugur dari pohon di tepi hotel kami. Kita adalah manik yang terlerai, kata Azahari. Atau sekadar buih-buih yang melata dan rapuh. Melayah ditampar ombak, pecah diusik jari.
Kau tahu, Christopher Columbus telah mendalami lakaran peta dunia Al-Idrissi sebelum menemukan idea tentang ‘Dunia Baru’. Kata Azahari cuba berjenaka, namun dari senyumannya jelas tertempel kerusuhan. Aku cuba menambah Al-Zarqalli dengan astrolab serta Ibn Muadh of Jaén dengan konsep trigonometrinya.
Kami tiba di Alcazar de los Reyes Cristianos yang memperlihatkan rupa senibina Roman dan Gothic dengan tiga buah menaranya tersergam gagah - The Tower of Lion - The Tower of Allegiance - The Tower of River. Lewat tahun 1031M, sistem kekhalifahan di Andalusia runtuh sesudah melewati period kepincangan politik dan sahsiah yang dipuncakan dari umat Islam sendiri.
Andalusia berpecah menjadi beberapa buah taifa (kerajaan kecil) yang sering bertelagah menyebabkannya telah dikuasai oleh puak Almoravids dan kemudiannya Almohads sehinggalah Kerajaan Kristian Portugal berjaya memerdekakan diri tangal 1250. Dengan perkahwinan Isabella I of Castile dan Ferdinand V of Aragon maka kerajaan Kristian menjadi terkuat di semenanjung tanah Iberia- menguasai satu persatu daerah Andalusia.
Azahari membuka tourist guide birunya dengan kening berkerut. Kota ini dibina oleh Alfonso XI pada tahun 1328 untuk tujuan ketenteraan. Dan juga di sinilah Ferdinand V dan Isabella berkubu sebelum menyerang kota Islam terakhir - Granada.
Granada… Di sini nafas Islam di kota Ilmu berdesah buat yang penghabisan.
Aku tersenyum mengangguk. Tapi dalam senyum itu ada rasa yang berbaur. Di sini, di sini aku nampak rekah-rekah kota Andalusia, perlahan-lahan meruntuh. Aishah, ibu Abu Abdullah, Raja Islam Granada terakhir pernah berkata ketika anakandanya kali terakhir melihat Alhambra - 'Abu Abdullah menangis seperti wanita demi sebuah kerajaan yang dia tidak dapat pertahankan sebagai seorang lelaki.'
Azahari terduduk.
~~~
*Karya ini menyandang tempat pertama Pertandingan Menulis Cerpen Remaja Nasional 2005.
2 ulasan:
‘Kebahagiaan itu adalah kemuncak jalan tasawuf dan merupakan hasil daripada ma'rifatullah atau mengenal Allah dengan sebenarnya. Asas kebahagiaan ialah jalinan ilmu dan amal’.
~teori kebahagiaan Al Ghazali~
=]
Ujar Imam Al Ghazali lagi,
'Kebahagiaan terletak pada
kemenangan memerangi hawa nafsu
dan menahan kehendak yang
berlebih-lebihan.'
Dan, ahli hikmah lainnya jua mengungkapkan,
'Kunci kebahagiaan seorang hamba
adalah jika apabila dia mampu
bersyukur atas kurniaan~Nya,
bersabar atas cubaan~Nya dan
bertaubat atas dosanya.'
..bersesuaian huraian yang lebih mendalam oleh Ibnu 'Athaillah,
'Hak~Nya yang menjadi kewajibanmu
dalam ketaatan adalah merasakan karuniaNya.
Hak~Nya yang menjadi kewajibanmu
dalam kemaksiatan adalah meminta ampunan atas kelalaianmu.
Hak~Nya yang menjadi kewajibanmu
dalam ujian adalah bersabar bersama~Nya.
Hak~Nya yang menjadi kewajibanmu
dalam kenikmatan adalah bersyukur.'
Allahu a'lam.
=]
Catat Ulasan