November 08, 2008

Nenek Negro Di Kota Mekah


fragmen cerpen
Faisal Tehrani





Merpati-merpati indah sedang tekun beribadah. Engkau terhidu bau atar mengapung harum menusuk deria hidu dan melihat langit lagi, awan nipis dan angin sesekali sepoi sahaja tiupannya melanggar pakaian pada tubuh, menampar pipi. Engkau bilang tasbih di tangan.


Azan Isya' pun berkumandang. Engkau bersembahyang. Lunak suara imam membacakan surah Yaasin, penawar hati di dalam al-Quran.


Kemudian, sesudah solat jenazah usai, engkau meluru ke arah Multazam, sedar engkau tidak ditegah menghampirinya, lantas engkau berdoa lagi. 50 tahun engkau mahu mempunyai anak.


Suami engkau pernah berkata, “Tak apa Hajar. Abang sudah redha dengan ketentuan Allah. Kita bahagia bersama dan tentu sahaja ada hikmah besar yang tidak pernah kita maklumi.”

Tetapi kali ini engkau meminta-meminta-meminta.


Engkau pulang bersama suami, bersama berpimpinan tangan menghala ke Asia Palace, di hadapan kedai runcit berhampiran hotel engkau singgah sebentar untuk membeli air mineral botol besar.



Tiba-tiba engkau disergah nenek negro itu. Ia bertudung serba hitam dan kepam. Pipinya berkedut dan tangannya; sepuluh jari berbalut warna jingga inai yang kian pudar. Matanya kuyu. Bibir nenek negro itu bahagian bawah lebih tebal dari bahagian atas sedikit terjuih dan engkau sedar di kedua-dua lengan terpasang gelang perak yang sarat. Dia berdiri di hadapan muka pintu kedai runcit tidak bersuara dan hanya pergi setelah diberi air mineral sebotol oleh pekedai yang tidak banyak bicara dan semacam mengerti ragam nenek tersebut.



“Ketepi Hajar, nenek gila nak lalu.”
Kata suamimu, menghela tangan untuk memberi laluan kepada nenek berkulit legam itu. Dia menoleh ke arah engkau, merenung tepat seolah-olah memahami kata-kata suami engkau dan marah menyala pada matanya terpanah membakar rasa dalam jiwa engkau. Telan air liur engkau telan dan engkau perlahan-lahan cuba tersenyum. Nenek negro masih tajam merenung tanpa reaksi dan kemudian perlahan-lahan dia juga tersenyum.


“Jangan abang cakap begitu lagi lain kali. Marah dia.”


“Argh bukannya dia faham.”


“Tak faham pun tak baik kata begitu, orang gila di kota Mekah jangan-jangan wali Allah.”



Engkau naik ke tingkat atas, makan minum dan sudah lima hari, setiap kali makan tengahari serta makan malam engkau menghimpun pelbagai jenis buah-buahan yang dibekal oleh pakej umrah. Ada pisang, limau, oren dan anggur. Engkau bawa semua naik ke atas dan isi di dalam kampit yang asalnya kecil kini mengembung menjadi besar.



Engkau tidur dengan perut kekenyangan. Sebelum mata terlena, engkau terbayangkan nenek negro lagi. Kemudian engkau lelap terus. Di dalam tidur nenek negro muncul tersenyum kepada engkau dan bersuara. Mula-mula butir katanya tidak jelas tetapi kemudian bicara itu menjadi terang. Nenek negro ternyata fasih berbahasa Melayu dan Arab.



“Siti Hajar, akan aku bacakan ayat kedua surah al-Insan bahawa: Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nutfah yang bercampur.”


..

~~~


*Ketahui sepenuhnya kisah Siti Hajar, suaminya dan nenek itu. Dapatkan Kekasih Sam Po Bo.

9 ulasan:

emir.abu.khalil berkata...

assalammualaikum wr wb wm wr

setelah selesai jerih menyempurnakan tugasan kursus, kini punya masa untuk membaca...

alhamdulillah... suka benar akan cerpen yang ini, jzkk atas perkongsiannya....

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Sebaiknya sdr tidak meletakkan karya sdr Faisal Tehrani di blog, jikalau fragmen tidak mengapa. Ini hanya membuatkan buku sdr Faisal kurang dijual dan pembaca hanya datang ke blog sdr.

Yang Benar,
Shah
shahft@gmail.com

firusfansuri berkata...

Wa'alaikumussalam wr wb,

Maaf atas khilaf, dan terima kasih atas tegurannya. Akan saya terbitkan semula dalam bentuk fragmen sahaja. In sya Allah.

Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

"Siti Hajar, akan aku bacakan ayat kedua surah al-Insan bahawa: Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nutfah yang bercampur.

Peringatan bersama tentang asal kita, sahabat.

Maaf kerna menggangu bualan antara tanpa nama dan kamu, sahabat.

Bagi saya.

Tiada salahnya jika tidak meletakkan fragmen di alam maya ini.
Hanya berkongsi ilmu dan barangkali kesukaan kita sahaja.
Tidak mungkin juga Kekasih Sam Po Bo akan kurang laris jualannya.
Banyak lagi tinta-tinta saudara FT dipasaran, sama ada yang lama dan baru.

Setahu saya juga, bukan semua orang yang meminati karya beliau.
Dan juga tidak semua yang sanggup menghabiskan masa membaca cerpen dan novel di tangan.
Tetapi sanggup menghabiskan masa di hadapan monitor.
Benar bukan?
:D

Jadi, apa salahnya mereka-mereka yang baru hendak jatuh cinta dengan tulisan saudara FT ataupun yang acap kali berkelana dari satu blog ke blog yang lain bertandang ke sini untuk menikmatinya.

Dapat juga meneguk ilmu serta meraih inspirasi baru, mudah-mudahan.

Jika tiada Kekasih Sam Po Bo di kalbu, koleksi cilik Ditektif Indigo pasti bisa menggantikannya.
Ataupun, silakan...Tunggu Teduh Dulu sebelum ia Manikam Kalbumu agar menjadi 1001 erti yang amat bermakna.

Cuma, bagi saya.

p/s: Alhamdulillah, kamu tempelkan sekali asal usul karya-karya penulis itu, sahabat.

:D

firusfansuri berkata...

Sahabat,

Saya hormati permintaan saudara Shah. Kerana sebagai asistan FT, sudut pandangnya lebih hampir pada FT..

Walaupun boleh dihujah balas, saya memilih untuk berpendapat perbuatan menyiarkan semula karya2 ini tidak semestinya menepati hasrat sesetengah penulis. Walau hasrat kecil hati ini ingin memperkenal tulisannya pada yang belum kesampaian, dengan usaha yang sedikit ini.

Sebelum ini, saya pernah minta izin dari FT untuk siarkan karyanya.. seingat saya, yang nak saya siarkan tu, puisinya. Saya ajukan soalan di blog tehranifaisal itu beberapa kali, tapi tak berbalas soalan saya. Maka saya anggap sebagai suatu yang diterima bagi pihak FT, selagi saya nyatakan sumber, penulis dan tidak mengubah karyanya.

Demikian hasrat awal saya, sahabat. Cuma berkongsi apa yang saya minat, mudah-mudahan tertebar kebaikan. Fragmen pun, walaupun sekadar petikan; jika dapat menggerakkan akal menyuluh jiwa,

Alhamdulillah.. segala puji bagi~Nya!

Hati-hati kita ada di antara permainan dua Jemari-Nya. Kerja Tuhan, penuh rahsia.

Mudah-mudahan segala manfaat yang diniatkan penulis ini, sampai ke lubuk nubari kita. In sya Allah.

:)

Tanpa Nama berkata...

Kerana sebagai asistan FT, sudut pandangnya lebih hampir pada FT.

Baik, sahabat.
Terimas atas ingatannya.
Itu cuma, bagi saya.

Jika ada pihak yang terasa hati.
Mohon maaf, pinta saya.
Moga-moga juga sahabat, usahamu itu di berkatiNYA.

Ameen...ameen...ameen buat doanya.

^-^

firusfansuri berkata...

Amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.
Moga segala tingkah kita dalam pandangan rahmat-Nya.

Kita bersetuju untuk berbeza pendapat, sahabat.

Terima kasih atas pandangannya. Saya hargai. ;)

Tanpa Nama berkata...

Ya Shafiq..

=]

firusfansuri berkata...

Ya 'Izzaty..

=]