Jun 02, 2008

Mencintai Allah dan kerana Allah.








Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus-ikhlas dalam berkasih-sayang, selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.


Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis Qudsi:

"Allah telah berfirman: Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang-menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung-mengunjungi keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu."


Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis Qudsi yang lain:

"Berfiman Allah Ta'ala di Hari Kiamat: Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagunganKu. Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naunganKu; iaitu hari yang tiada naungan selain naunganKu."


Sabdanya lagi:

"Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah."


Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah di bawah naunganNya, pada hari tiada naungan selain naunganNya. Baginda telah menyebut satu persatu orang-orang itu, sehingga katanya: Dan dua orang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah.





Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah, dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu bisa membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.


Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya; atau pun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan keduniaannya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang mana menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta itu adalah cinta tabi'i, cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan semata-mata, dan meskipun ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.


Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan semacam itu adalah persahabatan yang dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat, malah kadangkala belum sempat tiba di akhirat, di dunia dahulu sudah menjadi porakporanda.


Firman Allah Ta'ala:

"Sahabat-sahabat pada hari itu, satu sama lain bermusuh-musuhan, kecuali orang-orang yang bertaqwa."
(az-Zukhruf: 67)






____.

dipetik daripada

Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman,
dialihbahasakan dari
Kitab an-Nasha'ih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah
karya Imam Habib Abdullah Haddad,
oleh Ustaz Syed Ahmad Semait.



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum Saudaraku Shafiq,

Alhamdulillah atas entri kali ini. Semoga setiap pertemuan di dunia maya pun menjadi bagian dari bentuk cinta karena Allah SWT, jadi pendorong semangat untuk beramal kebaikan, serta jadi ajang saling ingat mengingatkan tentang perbuatan baik dan mencegah perbuatan buruk...insya Allah.

Wassalamu'alaikum wr wb.

firusfansuri berkata...

Wa'alaikumussalam wr wb, wm wr.. ya akhi Rozy.

Pertemuan dengan insan sepertimu,
moga mutiara hikmah yang terbit dari kedalamannya kalam 'arifin, terfahami oleh orang awam seperti hamba yang kala bicara sentiasa mengharap permudahan dari sahabat tercintanya, yang mendorong hampir diri pada~Nya dan menjauh lagi dari murka~Nya.

Allahumma amiin.
Amiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.

In sya Allah, ya sahabat.

Wallahu yubarik fik.

Tanpa Nama berkata...

MasyaAllah...terima kaseh...atas perkongsian ni..

cinta kerana Allah..moga ia tersemai di hati...ameen.

firusfansuri berkata...

Amiin.

Cintai Allah, dan
mencintai kerana Allah.

Sama2 kasih, ya sahabat.

:)